Skip to main content

Bola Sepak

Slot kelayakan automatik Leeds tertunda

brentford.jpg
BRENTFORD 2 LEEDS UNITED 0

Hasrat Leeds United untuk meraih slot automatik ke Liga Perdana Inggeris musim depan tertunda selepas tewas 0-2 kepada Brentford di Griffin Park, awal pagi tadi.


Kekalahan itu juga menyaksikan pasukan itu ketinggalan tiga mata di belakang pasukan di tangga kedua, Sheffield United, dengan hanya berbaki dua perlawanan dalam Liga Kejuaraan.

Brentford turun beraksi selepas hanya melakar satu kemenangan daripada lapan perlawanan terakhir, namun mereka merupakan pasukan yang lebih menguasai bahagian serangan.

Tidak banyak aksi menarik dapat disaksikan dalam babak pertama, namun Leeds sepatutnya mendapat sepakan penalti selepas Patrick Bamford terjatuh dalam kawasan penalti selepas tersadung bola yang disekat Julian Jeanvier.

Bagaimanapun, pengadil, James Linnington, tidak mengendahkan permintaan itu sebelum Neal Maupay menjaringkan golnya yang ke-24 dalam liga musim ini menerusi rembatan deras dari luar kotak penalti sebelum waktu rehat.

Sergi Canos menggandakan kelebihan itu pada minit ke-62 dengan memanfaatkan lorongan Naupay sebelum melakukan lambungan yang menewaskan penjaga gol Leeds, Kiko Casilla.

Walaupun Leeds terdesak memburu jaringan, Brentford kekal memberikan ancaman dengan percubaan akrobatik Maupay hanya sedikit melepasi palang gol sebelum usaha solo Canos dinafikan Casilla.

Leeds gagal menyerlahkan kebangkitan untuk mereka kekal ketinggalan tiga mata di belakang The Blades -- yang menewaskan Hull City 3-0 dalam perlawanan lebih awal -- dan enam mata di belakang pendahulu liga, Norwich City, yang meraih keputusan seri keempat berturut-turut selepas diikat 2-2 oleh Stoke City.

Hanya satu mata lagi diperlukan The Cannaries untuk memastikan kepulangan mereka dalam Liga Perdana.
 

Advertisement

Must Watch Video