Skip to main content

Bola Sepak

Skuad Rusa belum padam impian ke Liga Super

negeri-sembilan-2019.jpg
Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri, yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS)  masih menaruh harapan agar skuad Rusa dapat melayakkan diri ke Liga Super musim depan.

Beliau melihat baki empat perlawanan Liga Perdana musim ini, iaitu menghadapi Sarawak, Johor Darul Ta'zim II (JDT II), PDRM FA dan UiTM FC sebagai misi penting. 

"Baki perlawanan ini penting untuk kami mengumpul seberapa banyak mata berharga. Oleh itu, saya minta setiap pemain supaya memberikan sepenuh komitmen bagi memastikan kejayaan pasukan.

"Kami sebenarnya tidak meletakkan apa-apa sasaran pada awal musim. Sebagaimana yang saya kata sebelum ini, kami cuba membentuk sebuah pasukan yang mantap di bawah ketua jurulatih baru, Mohd Zan Mat Aris.

"Dengan barisan pemain dan jurulatih yang baru, kami tidak meletakkan harapan terlalu tinggi tetapi kami cuba untuk kembalikan semula kegemilangan bola sepak negeri ini secara berperingkat-peringkat dan ini mengambil satu jangka masa yang panjang. 

"Saya harap penyokong bersabar dan saya yakin skuad Rusa akan kembali gah satu hari nanti," katanya kepada pemberita selepas majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri PNBS di Seremban, hari ini.

Turut hadir,  Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun; Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Belia Dan Sukan negeri, Mohamad Taufek Abd Ghani; dan Naib Presiden FAM, Joehari Mohd Ayub.

Setelah mengharungi 16 perlawanan dengan mengumpul 22 mata, Negeri Sembilan kini menduduki tangga keenam di belakang Sabah, JDT II, UiTM, T-Team FC dan Pulau Pinang.

Tunku Syed Razman berkata walaupun skuad Rusa kini di tangga keenam, beliau yakin jurulatih dan pemain akan melakukan yang terbaik untuk membaiki kedudukan.

"Setakat ini, saya berpuas hati dengan prestasi skuad Rusa dan berharap prestasi pasukan boleh ditingkatkan lagi," katanya.

Ditanya mengenai perancangan skuad Rusa musim depan, beliau berkata hala tuju pasukan ialah memperbaiki lagi prestasi dengan mendapatkan pemain yang berkualiti.

-- BERNAMA  

Advertisement

Must Watch Video