BOLA SEPAK
Skuad muda negara rancang berdepan Myanmar
Skuad bawah 22 tahun (B-22) negara bakal menguji kekuatan Myanmar dalam dua perlawanan persahabatan pada awal bulan depan.
Pertembungan tersebut dijangka sengit apabila lapan pemain daripada skuad muda Myanmar turut beraksi dalam saingan Piala Suzuki AFF 2016 yang sedang berlangsung di Yangon.
Kelebihan skuad lawan itu pastinya mencetus kegusaran buat jurulatih, Frank Bernhardt, apatah lagi pertemuan berkenaan bakal berlangsung di laman keramat mereka, Stadium Thuwunna, Yangon.
Iklan
Penolong jurulatih, Aminuddin Hussin, berkata ia adalah perlawanan terakhir skuad muda negara untuk berdepan pasukan dari negara Asean selepas mengharungi aksi persahabatan menentang Singapura, Filipina dan Thailand sebelum ini.
"Myanmar merupakan satu pasukan yang kuat dalam arena Sukan SEA kerana mereka sudah digandingkan untuk tempoh yang panjang.
"Mereka ini adalah pemain yang beraksi dalam Piala Dunia B-20 di New Zealand, dua tahun yang lepas," jelasnya.
Tambah Aminuddin, Malaysia akan lebih menumpukan aksi persahabatan menentang skuad yang memiliki fizikal lebih besar melibatkan pasukan dari Timur Tengah atau negara-negara Asia seperti Jepun dan Korea Selatan.
"Tahun ini, kami mahu mendapat gambaran kemampuan pemain yang kami miliki. Tahun depan, kami mahu beraksi di tahap lebih tinggi, seterusnya membuat penilaian terhadap kebolehan pemain secara menyeluruh."
Must-Watch Video