Skip to main content

Bola Sepak

Skuad Hijau Kuning sasar kebangkitan

pkns-lwn-kedah-2019.jpg
Persaingan makin sengit dalam Kumpulan A, Piala Malaysia yang membabitkan Kedah dan PKNS FC untuk menempah slot ke pusingan seterusnya. 

Ketika Lang Merah yang dilabel pasukan pilihan masih bergelut, Semut Merah pula mampu menyajikan kejutan.

Keputusan seri yang dilakar di Stadium Shah Alam malam tadi menyaksikan persaingan kekal terbuka dengan tumpuan terarah kepada pendahulu, Terengganu, sementara Negeri Sembilan yang terperosok di dasar kumpulan masih mampu mencipta kejutan untuk baki tiga perlawanan.

Namun, untuk skuad Hijau Kuning itu, satu kemenangan, satu kekalahan dan seri belum cukup meyakinkan untuk mereka mendabik dada lolos ke pusingan seterusnya tanpa sebarang masalah manakala kelab dari Lembah Klang itu juga mempunyai peluang sama rata.

Kelebihan menjurus kepada Kedah apabila mempunyai dua perlawanan di Stadium Darulaman selepas ini membabitkan pertemuan dengan PKNS dan juga skuad Jang. 

"Kami tidak menyalahkan mana-mana pemain kerana ini merupakan perlawanan berpasukan. 

"Kami perlu kembali mendapatkan rentak bagi mencari gol dan kemenangan adalah sasaran kami untuk perlawanan seterusnya di laman sendiri," kata ketua jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak.

Sementara itu, skuad bimbingan Datuk K. Rajagobal itu pula seharusnya menyalahkan diri sendiri apabila gagal memanfaatkan peluang untuk mengutip tiga mata selepas membazirkan deretan peluang terhidang.

"Kedah semestinya memiliki tahap keyakinan yang tinggi untuk merakamkan kemenangan dalam pertemuan dengan kami di Alor Setar, Selasa depan. 

"Perkara paling penting buat kami adalah memastikan tidak kehilangan mata dan cuba untuk bermain dengan baik dalam dua baki perlawanan selepas ini," katanya. 

Advertisement

Must Watch Video