Skip to main content

Bola Sepak

Skuad belia Sabah dituntut disiplinkan diri

1534401604418_dtk-juil.jpg
Pemain skuad Piala Presiden Sabah dituntut supaya disiplinkan diri serta laksanakan latihan diberikan jurulatih di sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilanjutkan sehingga 14 April depan.

"Disiplinkan diri sebagai pemain. Patuhi PKP dan isi arahan kekal berada di rumah dengan melakukan latihan mengikut program disediakan jurulatih.

"Ini penting bagi memastikan pemain sentiasa berada ditahap baik dan sedia beraksi apabila saingan disambung semula.

"Kita tidak tahu bila saingan (Piala Presiden) akan disambung semula dan oleh sebab itu penting bagi pemain ada disiplin diri yang tinggi terutama dalam masa sekarang ini di mana penjagaan prestasi banyak bergantung kepada pemain sendiri," kata pengurus pasukan, Datuk Juil Nuatim ketika dihubungi, di Kota Kinabalu, hari ini.

Juil berkata, sejak PKP diumumkan kerajaan berkuatkuasa 18 Mac hingga 31 Mac dan kemudiannya dilanjutkan ke 14 April, semua pemain yang sebelum ini ditempatkan di dua buah rumah telah diminta balik ke rumah masing-masing.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) juga telah mengeluarkan arahan tidak boleh mengadakan latihan kepada semua pasukan Liga Malaysia manakala semua kemudahan sukan termasuk di Kompleks Sukan Kota Kinabalu iaitu tempat pasukan berlatih juga ditutup.

"Barisan jurulatih yang diketuai Justin Ganai bagaimanapun telah menyediakan program latihan kepada setiap pemain sebagai panduan untuk mereka berlatih sendiri di rumah masing-masing.

"Kami juga akan sentiasa menghubungi pemain bagi memantau keadaan mereka," kata Juil yang juga Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA).

Skuad pelapis Tambadau Sabah telah beraksi empat kali dengan rekod dua menang dan dua kalah untuk mengutip enam mata yang meletakkan mereka di kedudukan keenam dikalangan 11 pasukan dalam carta liga Kumpulan B (Zon Selatan).

Sabah memulakan saingan dengan kemenangan 1-0 ke atas Melaka di Stadium Likas pada 24 Februari tetapi tumbang 1-2 ditangan Kuala Lumpur di tempat lawan pada perlawanan kedua.

Sabah  bangkit semula dengan kemenangan besar 5-0 ke atas UKM FC di Stadium Likas perlawanan ketiganya pada 5 Mac tetapi kemudian tersungkur 2-3 ditangan Selangor pada perlawanan keempat di Stadium Likas pada 12 Mac.

Advertisement

Must Watch Video