Skip to main content

Bola Sepak

Skuad B-23: Tidak sempurna tetapi nampak perubahan

skuad-b23.jpg
Skuad bola B-23 negara disifatkan mempamerkan peningkatan positif dari segi taktikal dan corak permainan ketika menewaskan China 1-0 dalam aksi persahabatan di Stadium Jinshan, Shanghai pada Sabtu lalu.

Bekas pemain kebangsaan, Shahrom Kalam, berkata permainan yang ditunjukkan Harimau Muda agak meyakinkan dan pemain dapat melaksanakan perancangan diatur melalui sentuhan Juan Torres Garrido.

“Bagi saya, corak permainan pasukan negara agak meyakinkan.

"Kita nampak struktur mereka lebih disiplin dan juga pemain tahu apa sebenarnya perancangan yang dimahukan jurulatih. Itu sangat jelas.

“Saya rasa kemasukan pemain baru banyak membantu, terutama dalam kesebelasan utama seperti Muhammad Abu Khalil, yang walaupun baru berusia 18 tahun, dia tunjukkan permainan yang bagus.

“Kita patut bagi kredit kepada Juan dan Shukor Adan, yang nampak kemampuan Muhammad dan ini antara impak positif dan permulaan yang baik buat kedua-dua pengendali ini.

"Bagi saya, pendekatan taktikal banyak berubah secara ketara. Tidaklah sempurna tetapi nampak perubahan," katanya.

Garrido, yang baharu saja dilantik pada Oktober lalu bersama pembantu jurulatih, Shukor Adan, berjaya mengharungi tugasan pertama mereka dengan cukup sempurna dalam kemenangan mengejutkan ke atas China.

Selepas ini, skuad B-23 negara akan sekali lagi berdepan lawan sama esok.

Dalam pada itu, Harimau Muda diingatkan perlu berwaspada dengan pasukan tuan rumah, yang sudah tentu akan membalas dendam susulan kekalahan berkenaan.

Menurutnya, ia cabaran yang perlu dihadapi skuad muda negara dan kepakaran Garrido diperlukan untuk mengatur strategi yang sesuai.

“Setiap jurulatih akan buat penggiliran pemain iaitu empat atau lima orang akan ditukarkan.

"Ini cabarannya kerana pasukan tuan rumah sudah tentu akan balas dendam untuk dapatkan kemenangan.

“Pemain sudah tunjukkan mereka berjaya untuk lakukan dalam perlawanan pertama.

"Tetapi bagaimana cara permainan mereka sama ada game plan mereka ada perubahan atau masih sama.

"Ini yang akan menentukan perlawanan itu nanti," katanya lagi.

--Sinar Harian
 

Advertisement

Must Watch Video