Skip to main content

Bola Sepak

Situasi Messi akan dinilai doktor -- Valverde

messi.jpg
Pengurus Barcelona, ​​Ernesto Valverde, menjelaskan Lionel Messi perlu mendapatkan pemerikasaan doktor selepas mengalami "lebam teruk" di hidungnya dalam kemenangan ke atas Manchester United dalam aksi Liga Juara-Juara (UCL), awal pagi tadi. 

Barca menghasilkan gol dalam separuh masa pertama untuk kemenangan tipis 1-0 dalam pertemuan suku akhir pertama di Old Trafford itu.

Ketua pasukan Barca itu mendapat lebam dan hidungnya berdarah setelah pertahanan United, Chris Smalling, cuba memenangi bola untuk mengatasi pemenang lima kali Ballon d'Or itu. 

Ditanya mengenai situasi Messi selepas perlawanan itu, Valverde memberitahu wartawan: "Messi tidak berasa begitu selesa setelah mendapat hentakan itu.

"Kami perlu menilai dan melihat keadaannya esok tetapi keadaan lebamnya agak teruk."

Barca gagal memperagakan persembahan terbaik tetapi masih mendapatkan bekalan gol selepas tandukan Luis Suarez terkena pertahanan United, Luke Shaw, sebelum menerjah gawang. 

Gol pembukaan pada minit ke-12 itu memberikan Barca kemenangan pertama ke atas United di kandang lawan dalam kempen UCL selepas mencatat satu seri dan dua kekalahan sebelum ini.

"Apabila anda melihat suasana di sini dan pasukan yang mereka miliki, apatah lagi ia melibatkan pertemuan UCL, adalah sukar untuk meraih kemenangan di sini," kata Valverde.

"Ini adalah permainan yang sukar dan rumit dalam tempoh tertentu tetapi kami mempunyai peluang jaringan yang paling jelas."

Dengan Shaw dinamakan sebagai penjaring gol, ini bermakna kemarau jaringan Suarez dalam kempen UCL di tempat lawan berlanjutan. 

Sejak menyumbat gol ketika menentang Roma pada 2015, Suarez buntu menemui sentuhan penyudah di tempat lawan tetapi Valverde tetap mempertahankan penyerang dari Uruguay berkenaan. 

"Usaha yang dilakukannya tidak terlektak kepada soal jaringan semata-mata, sebaliknya apa yang dia cuba gerakkan," katanya.
 

Advertisement

Must Watch Video