Skip to main content

Bola Sepak

Simeone yakin Jimenez sempat pulih hadapi aksi 'derby'

rojiblancos.jpg
ATLETICO MADRID 3 HUESCA 0

Diego Simeone yakin Atletico Madrid boleh bergantung kepada pertahanan, Jose Gimenez, menjelang pertembungan 'derby' dengan Real Madrid pada Ahad ini sungguhpun mengalami kecederaan, awal pagi tadi. 


Pemain antarabangsa Uruguay itu dikeluarkan pada minit ke-39 dalam kemenangan selesa LaLiga 3-0 ke atas pasukan yang baru dipromosikan, Huesca, dengan apa yang diumumkan kelab itu sebagai "ketidakselesaan otot".

Menewaskan Huesca merupakan kemenangan ketiga berturut-turut Atletico dalam kesemua pertandingan. Ini bermakna mereka akan bertandang ke Santiago Bernabeu dalam prestasi yang baik selepas memulakan musim ini dengan agak goyah.

Kehilangan Gimenez -- yang tampil empat kali dalam kesebelasan utama LaLiga musim ini -- akan menjejaskan peluang mereka, begitupun Simeone optimis mengenai peluangnya untuk beraksi. 

"Kami akan menilai situasinya esok tetapi kami positif bahawa dia akan pulih untuk aksi 'derby' Ahad ini," katanya.

Atletico hanya memenangi sekali daripada lima perlawanan awal mereka -- sepanjang tempoh 90 minit -- dalam kesemua aksi mereka, namun kini mula mendapat rentak. 

Oleh itu, Simeone memiliki keyakinan untuk menuju ke Bernabeu bagi aksi sulung 'derby' liga musim ini.

"Kami berkembang secara keseluruhannya, kami lebih banyak memberi tekanan bersama-sama," katanya.

"Menentang Eibar, kami telah menunjukkan peningkatan, kemudian bertambah baik ketika bertemu Monaco dan terus meningkat menghadapi Getafe. Ini kali pertama kami beraksi ampuh dan saya berharap ia berterusan Ahad ini.

"Kami tiba dalam aksi 'derby' dengan keputusan yang baik. Kami berharap dapat memperbaiki permainan kami sebelum ke sana."

Simeone juga memuji penyokong Atletico yang menyambut baik jurulatih Huesca, Leo Franco, yang pernah mewakili kelab sebagai penjaga gol selama lima tahun, termasuk pernah bergandingan dengan rakan senegaranya dari Argentina itu.

"Semoga dia berjaya," kata Simeone. "Adalah bagus para peminat mengingati waktunya di kelab.

"Mudah-mudahan, Huesca akan terus maju dengan merealisasikan segala yang dipelajarinya selama ini."

Advertisement

Must Watch Video