Skip to main content

Bola Sepak

Simeone tidak takut kehilangan Griezmann ke Barcelona

antoine-griezmann-cropped_16psvpztu1z3o1cl0upsvg7ntv.jpg
Pengendali Atletico Madrid, Diego Simeone, tidak takut untuk kehilangan penyerangnya, Antoine Griezmann, ke Barcelona penghujung musim ini.

Masa depan pemain berusia 28 tahun itu di Wanda Metropolitano menjadi bualan hangat sejak setahun lalu.

Griezmann menolak peluang untuk menyertai Barca pada permulaan musim ini, namun spekulasi itu kembali menjadi sebutan untuk dia keluar dari bandar Madrid walaupun masih memiliki baki empat tahun dalam kontrak yang ditandatangani tahun lalu.

Namun, Simeone tenang bahawa penyerang Perancis yang telah menyumbat 15 gol di pentas LaLiga musim ini itu sentiasa terbuka dengan sebarang kemungkinan.

"Sejak kisah Griezmann ke Barca mula menular ke media, saya sering katakan bahawa dia sentiasa bagus, tenang dan gembira bersama rakan sepasukannya," kata Simeone.

"Dia adalah kapten pasukan kami dan kami sentiasa memberikan galakan yang dia perlukan, namun sudah tentu kami tidak tahu apa yang difikirkan di dalam dirinya.

"Jika dia ada sesuatu mahu diperkatakan, dia akan lakukannya satu hari nanti. Kami rasa dia akan kekal. Saya tidak takut kehilangannya. Dia kapten kami dan apa sahaja yang berlaku selepas ini, bukan berada dalam tangan kami."

Atletico memerlukan satu mata daripada dua aksi terakhir, di laman sendiri melayan Sevilla dan bertandang ke Levante, untuk mengatasi Real Madrid bagi kedudukan kedua liga.

Melihat pasukan kendaliannya itu bakal menamatkan saingan di tempat kedua, Simeone bersedia untuk memperkuatkan skuad bimbingannya apabila tamat musim tanpa mengeluarkan dana yang banyak.

"Apa yang saya tahu, saya boleh katakan kami sangat bermotivasi untuk musim depan," ujar Simeone.

"Setiap musim pasti sukar dan ia juga disebabkan oleh perubahan yang kami lalui dalam pasukan.

"Pemain baru akan tiba dengan keinginan dan tenaga, mahu meningkat di sini dan itulah cara kami. Griezmann, Jan Oblak, Jose Gimenez, Diego Godin dan Gabi, setiap pemain hadir ke sini selaku pemain dan berkembang sehingga ke tahap hari ini.

"Saya sering katakan kami tidak akan berbelanja sehingga beratus atau ribu juta. Kami harus membina pemain sendiri.

"Thomas Lemar merupakan pemain termahal dalam sejarah Atletico dan benar dia bergelut musim ini, namun saya yakin dia akan tampil hebat musim depan. Itu cara yang kami lakukan."

Advertisement

Must Watch Video