Skip to main content

Bola Sepak

Simeone hanya mahukan yang terbaik buat Luis

simeonefilipeluis-cropped_1kr6ki8ujn9lp1vryky0s46cis.jpg
Pengendali Atletico Madrid, Diego Simeone, menegaskan dia hanya mahukan yang terbaik untuk Filipe Luis walaupun benteng Brazil itu tampak bakal meninggalkan pasukan.

Luis hangat dikaitkan dengan perpindahan ke Paris Saint-Germain (PSG) sambil bekas pemain Chelsea itu dikatakan mahu melihat pilihan dalam tahun akhir kontraknya.

Simeone seolah-olah tidak mahu kehilangan khidmat Luis apabila menamakan pertahanan itu dalam skuad untuk menentang Valencia awal pagi esok, namun tidak mahu menyekat keinginan pemain yang telah berkhidmat dengan baik buat Atletico.

"Luis adalah pemain yang sangat kami sayangi dan dia sangat penting dalam pasukan," kata Simeone.

"Namun, jelas sekali saya mahukan yang terbaik untuk seseorang yang telah memberikan segalanya buat kami.

"Ketika ini, saya fokus untuk aksi berdepan Valencia dan pasukan lebih penting berbanding individu. Kami memikirkan tentang aksi awal pagi esok, termasuk Luis."

Luis dilihat bakal meninggalkan skuad yang kukuh selepas kehadiran Rodri dan Thomas Lemar, ditambah dengan kesegaran dalam pasukan selepas mengatasi Real Madrid dalam aksi Piala Super Eropah.

Namun, Simeone berpendapat masih terlalu awal untuk berpuas hati dengan pasukan dan dia percaya penyesuaian pemain baru lebih penting berbanding memberikan fokus kepada bakat individu.

"Sedikit demi sedikit, kami cuba memberikan ruang kepada muka baru, jadi mereka akan berasa menjadi sebahagian daripada pasukan.

"Diharapkan mereka akan cepat menyesuaikan diri.

"Kami gembira dengan pasukan ketika ini dan akan melihat apakah kemampuan Atletico pada akhir musim.

"Setakat ini, setiap individu berada dalam keadaan baik tetapi saya sering mengingatkan perkara sama bahawa anda tidak boleh memiliki pasukan yang bagus hanya melalui sesetengah individu. Jadi, anda memerlukan pemain yang mampu memainkan peranan dan bekerja untuk skuad."

Advertisement

Must Watch Video