BOLA SEPAK
Simeone bangga pasukannya tewaskan Bayern
Jurulatih Atletico Madrid, Diego Simeone, jelas gembira apabila pasukannya berjaya menewaskan Bayern Munich dengan menyifatkan pasukan tersebut sebagai yang terbaik berada di bawah bimbingannya.
Gol pada babak pertama oleh Yannick Ferreira Carrasco menyaksikan Atletico meraih kemenangan 1-0 ke atas kelab gergasi Bundesliga itu, malam tadi.
Dia mungkin telah membimbing Atletico untuk mengejar gelaran La Liga dan melangkah ke dua perlawanan akhir Liga Juara-Juara tetapi Simeone jelas berbangga dengan kemenangan terbaru mereka.
Iklan
"Saya rasa bertuah untuk menjadi pengurus kelab ini. Ia adalah kelab yang cukup bersemangat dan telah berjanji untuk bermain dalam setiap perlawanan seperti yang kami mahukan. Hari ini saya sukakan semuanya," katanya melalui UEFA.
"Kami memberikan tekanan kepada mereka, kami bertahan dan mengatur serangan balas dengan baik. Apabila kami terpaksa bertahan, kami melakukannya.
"Kami bersemangat selama 90 minit menentang pasukan yang sangat hebat dan ia merupakan satu pencapaian terbaik sejak saya berada di sini, di Atletico Madrid."
Carrasco menjaringkan gol tunggal permainan 10 minit sebelum separuh masa pertama berakhir, rembatannya terkena tiang di sebelah kanan pintu gol sebelum menerjah masuk.
Simeone, yang menyaksikan Antoine Griezmann terlepas satu sepakan penalti, memuji pertahanannya, terutama pertahanan tengah, Diego Godin dan Stefan Savic.
"Kerjasama sepasukan hari ini adalah sangat cemerlang. Ia sangat bijak, mereka bersungguh-sungguh, merampas kembali bola dan melakukan serangan balas," katanya.
"Savic dan Godin sangat bijak. Kami mempunyai empat pertahanan tengah yang cukup bijak dan saya fikir mereka adalah antara yang terbaik di dunia."
Atletico berada di tangga teratas Kumpulan D dengan mengumpul enam mata selepas meraih kemenangan tersebut dan meninggalkan Bayer dengan tiga mata di belakang.
Must-Watch Video



