Skip to main content

Bola Sepak

Simao dedah rahsia Ronaldo kekalkan prestasi

ronaldo-020517.jpg
Etika kerja yang sempurna oleh Cristiano Ronaldo di Real Madrid adalah sebab mengapa dia dapat mengekalkan prestasi cemerlangnya dalam tempoh yang lama, kata bekas bintang Atletico Madrid, Simao.

Madrid bakal menghadapi seteru setempat itu dalam aksi separuh akhir Liga Juara-Juara, dengan Los Blancos memasang impian untuk mengekalkan kejuaraan yang dimenangi selepas menewaskan Atleti dalam penentuan sepakan penalti, musim lalu.

Kesetiaan Simao ini mungkin berpihak kepada jalur merah dan putih Madrid, tetapi dia mahu memberi penghormatan kepada bekas rakan sepasukannya di Portugal itu ekoran keinginannya untuk sentiasa memperbaiki persembahannya menjelang aksi pertama di Santiago Bernabeu, awal pagi esok. 

"Setiap hari, sebaik terjaga, dia adalah individu pertama di bangku simpanan," ujar Simao kepada Omnisport. "Dia mula bekerja sejam sebelum latihan bermula. Dia meneruskan latihan selepas berlatih, dia terus bekerja. Itulah tahap kerja kerasnya yang tiada siapa yang menjangkakannya. 

"Dia sentiasa mahukan lebih. Dia sedar bahawa jika dia mahu terus berada di tahap ini, dia perlu bekerja lebih dan lebih. Dia akan sentiasa menjadi pemenang. Apabila dia terjaga, dia hanya memikirkan kerja dan kerja.

"Di peringkat profesional, dia sempurna, dia hanya memikirkan kerja, rehat, makan dengan baik dan bersaing. Itulah sebabnya dia mengekalkan persembahannya. 

"Perkara paling sukar dalam bola sepak adalah untuk mengekalkan tahap itu. Anda boleh berada di puncak prestasi tetapi untuk kekal selama bertahun-tahun seperti Cristiano adalah begitu sukar.

"Dia sentiasa menjaringkan banyak gol. Jika anda membandingkan dia dengan (pemain Barcelona, ​​Lionel) Messi, dia bertambah baik dari segi jaringan.

"Dia mengetahui kedudukan untuk menjaringkan gol. Dia pergi ke tengah pintu gol kerana di situlah peluangnya lebih terbuka.

"Tetapi sekarang, dia bertindak lebih daripada sekadar penyerang. Dia mungkin tidak menggelecek seperti dulu, tetapi dia berpeluang untuk menjaringkan lebih banyak gol. 

"Dia kehilangan satu perkara tetapi menyerlah dalam soal lain. Dan dalam bola sepak, perkara yang paling penting adalah gol".

Walaupun berasa kagum terhadap Ronaldo, Simao percaya pendekatan Atletico oleh jurulatih, Diego Simeone, memberi mereka peluang ketika menentang Madrid yang telah menundukkan mereka dalam dua perlawanan akhir dalam tempoh tiga tahun. 

"Perubahan besar saya perhatikan (bersama Simeone), pemain begitu bersemangat sejak memanaskan badan lagi," tambah Simao. 

"Mereka sentiasa bersedia dan ia adalah penting kerana anda tidak boleh membuang masa selama lima minit sekalipun. 

"Itulah cara mereka di padang dan bekerja bersama-sama.

"Mereka tahu apa yang mereka inginkan dan apa yang mereka perlu lakukan serta tidak boleh lakukan, mereka tahu had mereka. 

"Dan ini adalah elemen penting dalam sebuah pasukan."

Advertisement

Must Watch Video