Skip to main content

Bola Sepak

Silva: Neymar diperlukan, mampu memenangi peminat semula

neymar-cropped_1az4hops6n4fh12d05u7iwr6ff.jpg
Neymar tidak boleh digantikan dan boleh memenangi semula hati peminat jika kekal bersama Paris Saint-Germain (PSG), kata Thiago Silva.

Bintang Brazil itu masih belum beraksi buat juara Ligue 1 itu musim ini sambil pengendali kelab, Thomas Tuchel, mengesahkan dia tidak akan memilih penggempur itu sehingga masa depannya diputuskan.

Pengarah Sukan PSG, Leonardo, sebelum ini mengumumkan pemain berusia 27 tahun itu telah memberitahu kelab mengenai hasratnya untuk berhijrah dan peminat mula mempamerkan kain rentang mengkritik bekas tonggak Barcelona itu sebelum aksi menentang Nimes, 11 Ogos lalu.

Meskipun kehilangan khidmat Edinson Cavani dan Kylian Mbappe akibat kecederaan ketika menewaskan Toulouse 4-0, Ahad lalu, Tuchel mendakwa dia masih belum pasti sama ada akan menurunkan Neymar menjelang pertemuan dengan Metz, Jumaat ini.

Namun, Silva tidak meragui PSG patut berjuang untuk mengekalkan Neymar -- yang menjadi sasaran Real Madrid dan Barcelona -- tatkala RAC1 melaporkan bekas majikannya itu telah menghantar wakil ke Paris untuk membincangkan perpindahan, semalam.

"Neymar tidak boleh digantikan, dia pernah mewakili Barca dan kini bersama kami," katanya.

"Ada sesetengah masalah melibatkan pemain dan kelab yang kami tidak boleh masuk campur. Namun, saya harap dia kekal. Ya, saya sudah memberitahunya tetapi sukar untuk sentiasa memintanya agar kekal.

"Saya tidak tahu apa sebenarnya masalah Neymar dan kelab. Sejujurnya, saya harap jendela perpindahan berakhir lebih cepat kerana sudah tidak tahan dengan situasi ini."

Mengenai keretakan hubungan Neymar dan penyokong PSG, Silva menambah: "Sukar untuk bercakap mengenai situasi ini. Peminat tidak boleh melakukan cara lain tetapi mereka mengikut kehendak hati.

"Saya fikir jika Neymar kembali dan mula membantu pasukan, beraksi seperti tahun lalu ketika penghujung musim, semua akan gembira, termasuk peminat.

"Sebab itu saya harus katakan dia masih boleh membantu kami dan jika dia pergi, ia menyukarkan pasukan. Dia membuatkan sebuah kelab yang memiliki sasaran sama seperti kami dalam Liga Juara-Juara Eropah lebih kuat dan itu tidak bagus."

Setakat ini, Neymar masih belum berupaya menghadirkan kejayaan buat PSG di peringkat Eropah tatkala dia terlepas aksi kalah mati akibat kecederaan dalam dua musim di ibu negara Perancis itu.

Selepas mendominasi saingan domestik, jelas sekali keinginan PSG terarah kepada kejohanan lebih besar tetapi Silva tidak pasti sama ada musim 2019-20 akan menjadi milik mereka.

"Kemenangan, saya tidak tahu tetapi kami akan berusaha untuk menang. Kami perlu lalui perlawanan demi perlawanan," tambahnya.

"Walaupun tanpa Neymar dalam aksi pertama di Manchester, kami mengharungi perlawanan yang hebat.

"Di laman sendiri, kami fikir sudah selangkah ke suku akhir. Kami tidak sepatutnya berfikir begitu dalam aksi di peringkat tinggi. Kami perlu berusaha dan meraikan kelayakan selepas itu."

Advertisement

Must Watch Video