Skip to main content

Bola Sepak

Siasatan kes Rogol Neymar ditamatkan

neymar.jpg
Pihak polis yang menyiasat dakwaan rogol terhadap bintang Paris Saint-Germain (PSG), Neymar, mengumumkan bahawa mereka telah menamatkan siasatan kerana kekurangan bukti.

Penyiasat di balai polis Sao Paulo mengesahkan bahawa kes rogol yang melibatkan seorang wanita dari Brazil dengan bintang bola sepak, Neymar, telah diserahkan kepada pendakwa raya, yang kini memiliki tempoh selama 15 hari untuk melakukan penilaian serta keputusan terakhir.

"Saya telah menyimpulkan siasatan semalam. Saya tidak dapat mengumpul bahan bukti yang secukupnya untuk melakukan dakwaan," kata polis penyiasat Sao Paulo, Juliana Lopes Bussacos, dalam satu sidang media.

Neymar dengan tegas menafikan dakwaan dia merogol mangsa yang dikatakan berlaku di sebuah bilik hotel di Paris, 15 Mei lalu.

Wanita itu mendakwa telah bertukar pesanan dengan pemain berusia 27 tahun itu menerusi media sosial sebelum bertemunya di Sofitel Paris Arc Du Triomphe.

Dia memberitahu dia telah kembali ke Brazil dua hari berikutnya tetapi terlalu beremosi untuk membuat laporan mengenai insiden tersebut sehinggalah 31 Mei.

Neymar kemudian memuat naik video di Instagram dengan menjelaskan dakwaan itu merupakan sebahagian daripada cubaan pemerasan.

Kes itu mula timbul sejurus sebelum saingan Copa America bermula, di mana pemain kelahiran Brazil itu terlepas saingan ekoran kecederaan buku lali.

Kerjaya kelabnya diselubungi ketidakpastian apabila penyerang itu meluahkan hasrat untuk meninggalkan PSG dan berkemungkinan akan kembali ke Barcelona.

Advertisement

Must Watch Video