Skip to main content

Bola Sepak

Shahrul: Harimau Malaya perlu dominan

shahrul-saad.jpg
Pertahanan skuad negara, Shahrul Saad, mengakui Harimau Malaya perlu menampilkan aksi dominan menerusi pengguasaan bola bagi menyaingi Jordan dalam aksi persahabatan di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam ini.

Malaysia berdepan tugas mencabar sebelum membuka kempen pusingan kedua kelayakan Piala Dunia Qatar 2022 menentang Indonesia, Khamis depan.

Skuad kendalian Tan Cheng Hoe itu akan membuat perhitungan dengan pasukan di ranking ke-99 dunia, Jordan, yang dibarisi pemain bersusuk besar.

Shahrul mengakui faktor fizikal akan menjadi kelebihan lawan, namun pertahanan Perak itu menegaskan ia bukan alasan untuk skuad negara tidak memberikan tentangan.

"Untuk perlawanan kali ini, kami harus berfikir secara bijak.

"Kita tahu mereka memiliki saiz badan yang agak besar.

"Mungkin dengan perancangan jurulatih untuk bermain secara hantaran pendek dan menguasai bola.

"Saya rasa tiada apa-apa masalah untuk menentang mereka," katanya.

Dia kini menggalas tugas selaku pemain senior di bahagian pertahanan selepas ketiadaan Aidil Zafuan Abdul Radzak dalam skuad kebangsaan.

Ia bermakna pemain berusia 26 tahun itu akan membentuk gandingan baru bersama barisan pemain muda seperti Adam Nor Azlin (23), Irfan Zakaria (24) dan Dominic Tan (22).

"Aidil memang pemain yang amat baik.

"Banyak yang saya pelajari daripadanya.

"Saya harap dengan pengalaman yang saya miliki sewaktu bersamanya, saya dapat membantu rakan-rakan lain untuk memberikan yang terbaik," tambahnya.

Advertisement

Must Watch Video