Skip to main content

Bola Sepak

Sevilla gesa campur tangan UEFA jika Portugal pilih Silva yang cedera

andresilva-cropped_o91qa6s4f4d19rp3f105bjtg.jpg
Pengurus Sevilla, Joaquin Caparros, menggesa campur tangan UEFA jika Portugal cuba menyenaraikan nama Andre Silva dalam skuad Liga Negara-Negara kerana ia melanggar cadangan perubatan kelab Sepanyol itu.

Silva, yang kini dipinjam daripada AC Milan, telah tampil 27 kali musim ini tetapi tidak beraksi sejak 4 April lalu dan kali terakhir berada dalam kesebelasan utama pada 17 Mac lalu.

Pemain berusia 23 tahun itu membuat penampilan sulung yang cemerlang dalam LaLiga selepas mencatat hatrik dalam pertemuan menentang Rayo Vallecano tetapi mula ketandusan jaringan Oktober lalu.

Kecederaan lutut memaksanya direhatkan hampir dua bulan tetapi Sevilla khuatir dia mungkin akan menangguhkan tarikh kembali dalam usaha untuk tampil cergas bersama skuad kebangsaan Portugal bagi saingan Liga Negara-Negara UEFA.

"Silva tidak akan bersedia untuk beraksi menentang Atletico Madrid malam ini," kata Caparros.

"Ini perlu dibincang kerana dia meraih permulaan baik musim ini dan kini tidak beraksi selama dua bulan.

"Saya membayangkan lebih baik jika skuad kebangsaan Portugal tidak memanggilnya. Ia mampu membuatkan proses pemulihannya menjadi teruk.

"Apa reaksi kami -- sebagai penyokong, pengurusan dan presiden -- jika melihat dia beraksi buat pasukan kebangsaan awal Jun nanti?

"Saya harap Portugal tidak memanggilnya dan menghormati laporan kami. Dia ada masalah dengan lutut dan sedang dipulihkan.

"Saya tidak fikir mereka akan panggil tetapi jika ia berlaku, UEFA patut masuk campur memandangkan laporan perubatan ada pada kami.

"Reputasi pemain akan dipersoalkan sekiranya dia akhirnya tampil bersama skuad kebangsaan awal Jun depan. Kami tidak bodoh."

Portugal akan berdepan Switzerland dalam separuh akhir Liga Negara-Negara UEFA pada 5 Jun ini.

Advertisement

Must Watch Video