Skip to main content

Bola Sepak

Setiap kali menyaksikannya, saya menangis -- Lucas masih terkejut aksi wira Liga Juara-Juara

lucas-moura-cropped_1oaga6bxgd41k1nq5hfsdkxzym.jpg
Lucas Moura masih menangis setiap kali menonton ulang tayang kebangkitan Tottenham Hotspur dalam kemenangan ke atas Ajax.

Skuad kendalian Mauricio Pochettino itu mengesahkan kemaraan ke final pertama Liga Juara-Juara Eropah susulan kemenangan dramatik 3-2 di Amsterdam, Rabu lalu, menyaksikan Lucas mencipta hatrik dalam babak kedua untuk mengikat kedudukan agregat 3-3 dan mara menerusi gol tempat lawan.

Jaringan kemenangan itu hadir pada minit ke-95 dan Lucas begitu beremosi apabila menonton detik itu semula.

"Saya rasa saya bermimpi," katanya.

"Ia adalah hari yang sukar dipercayai. Saya sangat gembira dan bangga. Saya sentiasa katakan bahawa jika anda percaya dan bekerja keras, anda akan menerima perkara bagus dan pasukan ini berhak.

"Saya percaya kami mampu memenangi perlawanan dan mara ke final tetapi saya tidak percaya dapat menyumbat tiga gol dan jaringan terakhir berlaku di penghujung permainan. Ia sempurna.

"Saya sudah menonton perlawanan itu. Setiap kali menyaksikannya, saya menangis kerana ia sungguh beremosi. Setiap pemain mahukan detik ini, berada dalam keadaan ini dan saya sangat gembira. Kami perlu menikmatinya.

"Itulah yang dilakukan bola sepak dengan semua orang. Sebab itu bola sepak sangat hebat. Saya cintakannya. Ia sangat beremosi, semua orang sayangkan bola sepak. Detik seperti ini akan dikenang sampai bila-bila."

Spurs bakal menamatkan kempen Liga Perdana Inggeris menentang Everton esok sebelum menentang Liverpool di Madrid pada 1 Jun ini.

Advertisement

Must Watch Video