PIALA FA
Semut Merah bijak manfaat peluang -- Durakovic
Statistik permainan memihak kepada Perak, namun tuah berpihak kepada PKNS FC apabila memperoleh kemenangan tipis 2-1 dalam suku akhir pertama Piala FA meskipun permainan malam tadi lebih didominasi lawan.
"Saya rasa semua orang menyaksikan perlawanan dan tahu pasukan mana yang lebih bagus.
"Kami dibolosi dua gol tetapi menunjukkan permainan hebat sehingga akhir aksi. Inilah bola sepak," kata jurulatih Perak, Mehmet Durakovic.
Iklan
Pandangan Durakovic itu berdasarkan kepada beberapa peluang keemasan yang dicipta anak buahnya sepanjang 90 minit di Stadium Shah Alam itu.
The Bos Gaurus lebih dominan pada separuh masa kedua dengan mengutamakan serangan pantas, khususnya dengan kemasukan pemain gantian, Ahmad Khairul Anuar Ahmad Zamri serta Nazrin Nawi.
Hanya sepakan penalti Wander Luiz pada masa kecederaan mengubati kekecewaan kerana ia mampu menjadi penentu semasa aksi timbal balik nanti.
Dalam masa sama, jaringan Faris Ramli serta Safee Sali pada setiap babak memastikan Semut Merah mendapat bekalan tipis ke Ipoh nanti.
Lantaran itu, jurulatihnya, Datuk K. Rajagobal, mahu memastikan pasukannya tidak kehilangan rentak apabila berdepan Perak di hadapan penyokong mereka sendiri yang pastinya menjanjikan suasana yang berbeza.
"Mungkin kami tidak menang dalam aksi seterusnya tetapi kami harus bertandang ke tempat lawan dengan lebih yakin.
"Jika seri, saya perlu memikirkannya, begitu juga kalau kalah atau menang," ujar Rajagobal.
Must-Watch Video