Kapten sepak takraw negara, Farhan Adam, tidak mahu rakan sepasukan terlalu memikirkan kehadiran beberapa pemain Thailand yang sebelum ini digantung menjelang Sukan Asia Aichi-Nagoya.
Farhan atau lebih mesra disapa Emon itu sebaliknya menyeru rakan sepasukan kekal fokus terhadap perancangan dan prestasi sendiri biarpun situasi itu tampak mampu menyukarkan misi Malaysia dalam usaha memburu pingat emas.
"Pada kami sebagai pemain siapa sahaja lawan kami, kami akan lawan sahaja seperti biasa tanpa fikirkan perkara itu. Isu itu biar pihak pengurusan uruskan.
"Tekanan memang tinggi, tetapi ini Sukan Asia, Thailand juara edisi lalu, kami cuba dapatkan emas kali ini." katanya.
Terdahulu, Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) mengenakan denda terhadap lima pemain dan tiga pegawai pasukan kebangsaan Thailand, Ogos lalu.
Perkara itu susulan tindakan mereka meninggalkan gelanggang pada aksi final Piala Dunia Sepak Takraw ISTAF Kuala Lumpur 2026, pada Mei.
Namun, empat daripada lima pemain terbabit iaitu Phutawan Sopa, Wichan Temkort, Jakkrit Thinbangbon dan Sitthipong Khamchan tetap dibawa ke Jepun bagi menghadapi temasya berkenaan.