Skip to main content

Bola Sepak

Semoga berjaya Maguire -- Van Dijk

harrymaguire.jpg
Virgil van Dijk memberi amaran kepada Harry Maguire mengenai perpindahannya ke Manchester United dan kini harus memikul tekanan selepas menjadi pertahanan termahal dunia.

Maguire meninggalkan Leicester City untuk menyertai gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL), United, dengan rekod perpindahan dunia bernilai GBP80 juta (RM406 juta).

Pemain kebangsaan England itu, yang memeterai perjanjian enam tahun dengan pilihan untuk melanjutkan kontraknya selama setahun lagi di Old Trafford, dipercayai telah mengatasi yuran perpindahan Van Dijk ketika Liverpool mendapatkan khidmatnya daripada Southampton dengan harga GBP75 juta (RM380 juta), Januari tahun lalu.

Van Dijk, yang mengetuai Liverpool menjulang trofi Liga Juara-Juara musim lalu, menyedari tekanan yang perlu dipikul dengan tanda harga berkenaan dan memiliki nasihat untuk Maguire.

"Semoga berjaya buat Maguire," katanya. "Saya tidak boleh berkata apa-apa mengenai perpindahan itu tetapi sudah tiba masa perubahan harus dilakukan.

"Itulah harga pasaran sekarang. Ia tidak mempengaruhinya tetapi saya mengucapkan semoga berjaya buat Maguire. Harga itu hadir sekali dengan tekanan tetapi beraksi bersama United amat sukar.

"Berikan tumpuan kepada apa yang anda gemari dan bermain dengan sebaik mungkin," kata Van Dijk lagi.

"Bukan mudah untuk menangani tekanan, secara peribadi perkara paling penting adalah mengutamakan mutu permainan.

"Bermain untuk Liverpool juga memiliki tekanan tetapi anda harus menikmatinya."

Advertisement

Must Watch Video