Pengurusan tertinggi kelab Liga Inggeris, Birmingham City nampaknya tidak lagi boleh menunggu untuk terus memberikan masa kepada pengurusnya Wayne Rooney membimbing kelab tersebut apabila memecat bekas penyerang England itu.
Hanya dua kemenangan daripada lima belas perlawanan, angka itu sememangnya sukar diterima atau satu pencapaian yang mampu dibanggakan oleh peminat mereka.
Selepas tewas 0-3 kepada Leeds United di hari pertama 2024, hasrat Rooney yang mahukan lebih banyak masa sebelum ini untuk dia membuktikan sesuatu di kelab tersebut tidak lagi dapat dipertimbangkan.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh kelab tersebut, keputusan yang mampu dilakarkan oleh Birmigham di bawah bimbingan Rooney tidak mencapai tahap yang diharapkan.
"Berdasarkan usaha yang telah dilakukan, keputusan yang direkodkan tidak mencapai tahap seperti yang diharapkan. Untuk itu, pihak pengurusan tertinggi beranggapan bahawa keperluan untuk melakukan perubahan demi mencapai hasrat dan kepentingan pihak kelab."Jelas kenyataan tersebut.
Bekas Pengurus berusia 38 tahun itu bagaimanapun menganggap keputusan yang dilakukan oleh kelab terbabit harus diterima dengan hati yang terbuka.
"Bola sepak adalah berkenkaan dengan keputusan yang dicatatkan dan saya menyedari ia tidaklah seperti yang diharapkan oleh mereka. Bagaimanapun, saya menganggap masa adalah sesuatu yang paling berharga dan diperlukan dan saya tidak percaya tempoh 13 minggu mampu menjelmakan perubahan seperti yang diimpikan." Jelas Rooney.
Buat masa ini kata Rooney, beliau akan menghabiskan masa bersama keluarganya sebelum melihat langkah yang terbaik untuk diambil dalam memastikan kariernya sebagai pengurus dan jurulatih mampu diteruskan selepas ini.