Skip to main content

Bola Sepak

Selangor rampas tempat ketiga daripada Kedah

selangor.jpg
FELDA UNITED 1 SELANGOR 2

Selangor melonjak ke tangga ketiga carta Liga Super dan memintas Kedah selepas menundukkan Felda United 2-1 di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka sebentar tadi.


Jaringan daripada Sandro Da Silva dan Ifedayo Omosuyi dalam setiap babak membolehkan gergasi Lembah Klang itu mengutip mata ke-31 tatkala tuan rumah meraih gol sagu hati hasil sumbangan tonggak import dari Brazil, Jocinei Schad. 

Sedar hanya kemenangan mampu membolehkan mereka mengukuhkan sasaran untuk menamatkan saingan musim ini dalam kelompok tiga terbaik, Selangor kendalian B. Sathianathan itu mempertaruhkan gandingan Faiz Nasir, Khyril Muhymeen Zambri serta penggempur utama, Ifedayo, di barisan depan.

Percaturan bekas pengendali kebangsaan itu seakan-akan membuahkan hasil apabila Faiz hampir membuka tirai jaringan selepas setengah jam permainan tetapi rembatan kaki kanan pemain berusia 26 tahun itu sipi dari gawang tuan rumah.

Kelincahan bekas tonggak utama Terengganu itu sekali lagi memberikan ancaman buat Felda pada minit ke-37, namun kali ini hantaran lintangnya gagal disudahkan dengan tandukan kemas oleh Endrick dos Santos.

Bagaimanapun, jaringan yang ditunggu-tunggu The Red Giants akhirnya menyusul ketika permainan berbaki seminit sebelum rehat apabila larian deras Faiz memberikan ruang buat Sandro yang pantas melepaskan rembatan kencang menewaskan Norazlan Razali.

Pelawat hanya memerlukan enam minit selepas aksi bersambung untuk melebarkan pendahuluan, kali ini menerusi Ifedayo -- pemain pertama mencatat dua hatrik dalam semusim buat Selangor sejak Rufino Segovia melakukannya tahun lalu -- yang tenang menyudahkan bola hantaran pendek Endrick, sekali gus membuatkan Norazlan tewas buat kali kedua.

Felda bimbingan Nidzam Jamil merapatkan jurang 11 minit kemudian selepas Jocinei bijak melepasi halangan dua pertahanan pelawat sebelum melepaskan rembatan kencang kaki kiri.

Pemain gantian, Amri Yahyah, hampir meletakkan nama dalam senarai penjaring menerusi percubaan kaki kanan ketika permainan berusia dua minit untuk ditamatkan tetapi bola sekadar singgah ke tiang gol, namun Selangor berjaya mengekalkan kedudukan 2-1 sehingga tamat perlawanan.

Kredit foto: Facebook Malaysian Football League

Advertisement

Must Watch Video