Skip to main content

Bola Sepak

Selangor perlu kekal yakin -- Sathianathan

b-sathianathan.jpg
Ketua jurulatih Selangor, B. Sathianathan, menyuarakan kebimbangannya menjelang aksi Liga Super menentang PKNP FC di Stadium Shah Alam malam esok selepas keruntuhan keyakinan pemainnya susulan penyingkiran daripada saingan Piala FA, kelmarin. 

Finalis musim lalu itu tewas 1-2 kepada Felda United dalam pusingan ketiga di Stadium Shah Alam.

Apa yang lebih membimbangkan bekas pengendali kebangsaan itu adalah skuad The Red Giants itu terpaksa turun tanpa tiga pemain utama, dengan Amri Yahyah digantung perlawanan gara-gara mengumpul tiga kad kuning selain Nurridzuan Abu Hassan, yang digantung perlawanan ekoran layangan kad merah ketika pertemuan dengan Felda United, dan Endrick Dos Santos yang masih cedera.

Sathianathan mengakui pasukannya kini berada dalam keadaan terdesak untuk meraih kemenangan, ditambah dengan reputasi PKNP FC yang belum tewas dalam lima perlawanan terakhir.

"Ia bukan senang kalau ramai pemain cedera dan dua pemain digantung (perlawanan).

"Pasukan terbaik sekalipun tidak dapat mengekalkan prestasi terbaik andai terpaksa mengubah lima ke enam pemain dalam satu perlawanan," katanya.

Bagaimanapun, Sathianathan berharap skuad kendaliannya itu dapat meningkatkan keyakinan mereka untuk mengejar sasaran memenangi satu piala musim ini.

"Kami masih bersaing dalam Liga Super selain masih boleh mengejar kejuaraan Piala Malaysia.

"Kami mahu beraksi baik dan menduduki kedudukan lebih baik dalam liga dengan sekurang-kurangnya tempat ketiga.

"Tempat ketiga sudah cukup baik untuk Selangor.

"Namun, selepas itu masih ada Piala Malaysia dan di situlah sasaran kami, jadi kami perlu meneruskannya," tambahnya.

Advertisement

Must Watch Video