Skip to main content

Bola Sepak

Selangor garang ke suku akhir Piala FA

mukhairi-ajmal-mahadi.jpg
SELANGOR 4 SRI PAHANG 0 

Selangor FC melenyapkan sebarang tanggapan mengenai pertemuan paling mencuri tumpuan di peringkat 16 Piala FA dengan menyingkirkan Sri Pahang FC 4-0.


Perlawanan di Stadium MBPJ, sebentar tadi itu menyaksikan satu mutu permainan yang berat sebelah dengan Gergasi Merah melancarkan seawal minit pertama permainan. 

Selepas diberi selesa mendominasi permainan, Mukhairi Ajmal Mahadi memulakan pesta gol barisan kendalian Tan Cheng Hoe tersebut dengan rembatan 'knuckle ball' hingga menjerat penjaga gol lawan, Izham Tarmizi Roslan, pada minit ke-41 yang sebelum itu berupaya menangkis beberapa percubaan lawan. 

Sentuhan klinikal pemain yang diletakkan di bahagian sayap kanan itu kembali menghantui gawang lawan pada minit ke-59.

Kemudian, Faisal Halim memanfaatkan situasi kucar-kacir di depan pintu gol lawan untuk satu tolakan bagi menjadikan kedudukan 3-0 (minit ke-67). 

Selangor terus melancarkan asakan dan hanya memerlukan lima minit seterusnya untuk tendangan kencang ketua pasukan, Brendan Gan, menerjah ke jaring skuad Tok Gajah itu

Satu lagi wakil Liga Super yang juga bakal menjadi pencabar kepada juara lima kali itu, iaitu Negeri Sembilan FC, pula bergelut dalam separuh masa pertama sebelum menoktahkan perjuangan PIB FC 2-0 menerusi jaringan Casagrande pada minit ke-52 dan Shahrel Fikri Fauzi (minit ke-81).





Sementara itu, Penang turut mencatat kemenangan selesa dengan menjinakkan Kuching City 0-4 di laman lawan. 

Harimau Kumbang meleburkan sebarang kebangkitan tuan rumah apabila meledak tiga gol dalam babak kedua bagi melanjutkan jaringan Sonny Saad pada awal 45 minit permainan.

Tetapi selepas ini mereka bakal berdepan ranjau lebih berduri apabila bertandang ke Stadium Sultan Ibrahim bertemu juara bertahan, Johor Darul Ta'zim (JDT).

Satu lagi wakil dari Borneo, Sabah FC, pula mengorak langkah untuk menyambut Kuala Lumpur City di Stadium Likas kelak. 

Anak buah Datuk Ong Kim Swee itu mengatasi Kelantan United 2-0 dan kemaraan Sang Badak dijamin menerusi jaringan Baddrol Baktiar pada minit ke-13 termasuk Stuart Wilkin (minit ke-59).

Perlawanan suku akhir: 

Negeri Sembilan lwn Selangor
JDT lwn Penang 
Sabah lwn KL City 
Terengganu lwn Kelantan

Advertisement

Must Watch Video