Tatkala Sabah FC kecewa hasrat ke Piala AFC dinafikan pada saat akhir, pengumuman Malaysia Football League berhubung perkara itu pula memberi khabar gembira kepada Selangor FC.

Ini kerana The Red Giants masih mempunyai harapan ke pentas Asia setelah satu baki slot Piala AFC ditawarkan MFL kepada juara Piala Malaysia musim ini berbanding tempat ketiga Liga Super pada awalnya.

Pengendali Selangor, Tan Cheng Hoe berkongsi perkembangannya bersama wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.

"Apabila beraksi dalam saingan Piala Malaysia, mereka berpeluang untuk merebut slot ke Piala AFC," kata Cheng Hoe.

"Ia merupakan slot terbaik beraksi di peringkat yang lebih tinggi buat Selangor FC. Kami akan cuba mendapatkan slot tersebut.

"Mengenai laluan Selangor dalam saingan Piala Malaysia, kami akan cuba menghadapi perlawanan demi perlawanan. Kami bagaimanapun enggan meletakkan tekanan yang terlalu tinggi ketika kami berbekalkan barisan pemain tempatan yang masih muda.

"Sebagai jurulatih, ia adalah impian untuk menempah slot ke final."

"Bertemu Kelantan United, kami berdepan lawan yang cukup baik ketika beraksi di laman sendiri, kami harus berwaspada dengan ancaman yang dimiliki barisan pemain pasukan tersebut."