Skip to main content

Bola Sepak

Segovia miliki kualiti luar biasa -- Sathianathan

rufino.jpg
Pengendali Selangor, B. Sathianathan, mengakui ketiadaan Rufino Segovia bagi baki saingan Liga Super musim ini adalah satu kehilangan besar buat Gergasi Merah.

Sebelum ini, Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) terpaksa merehatkan penyerang dari Sepanyol itu gara-gara kecederaan sehingga memaksanya berehat sehingga akhir tahun nanti.

Memandangkan Segovia masih mempunyai kontrak sehingga 2020, FAS hanya menggugurkan namanya dalam pendaftaran pemain import tetapi dia tetap dikekalkan bersama Selangor.

"Saya harapkan jika Segovia ada, pasti kami melangkah lebih jauh. Kualiti yang dimilikinya luar biasa. Sayangnya, dia cedera dan digantikan dengan Ifedayo. Harus diakui Segovia membawakan dimensi berbeza berbanding pemain lain," ujar ketua jurulatih Selangor itu.

Sementara itu, Sathianathan setakat ini berpuas hati dengan kelibat Ifedayo Olesegun selaku penyerang import yang menggantikan tempat Segovia.

Penyerang kelahiran Nigeria itu sudah meraih tiga gol dalam tiga aksi pertama bersama Selangor, sekali gus menerbitkan rasa yakin dalam kem Gergasi Merah untuk merebut kedudukan tiga terbaik Liga Super. 

"Dengan adanya Ifedayo dan kembalinya Endrick Dos Santos yang sudah terlepas lima perlawanan, kami akan menjadi satu pasukan yang kuat. Saya yakin kami akan kekal dalam kelompok tiga teratas," katanya.

Advertisement

Must Watch Video