Skip to main content

Bola Sepak

Sedikit terlewat tapi United makin serlah kemajuan

harry-maguire.jpg
Ia mungkin hanya satu kemenangan ke atas sebuah pasukan dalam kelompok bawahan tapi tiga mata yang dikutip daripada Nottingham Forest sebenarnya mengisahkan transformasi yang dibawa Erik Ten Hag di Manchester United. 

Jika diimbas kembali, kekalahan 0-4 kepada Brentford dalam perlawanan kedua mereka musim ini pada Ogos tahun lalu, United seakan-akan merenung semusim lagi yang bermasalah di benteng pertahanan mereka. 

Namun, berselang lapan bulan, mereka bukan lagi barisan yang boleh dipersendakan, dengan rekod tanpa bolos semakin menjadi kelaziman. Kemenangan 2-0 ke atas Forest pada Ahad menyerlahkan kemajuan yang telah mereka raih. 

Sebelum itu, cemas datang tanpa diundang apabila diumumkan kecederaan Lisandro Martinez mengetepikannya untuk baki musim ini tatkala Raphael Varane juga harus direhatkan berminggu-minggu lamanya. 

Kedua-duanya telah menubuhkan antara gandingan pertahanan terbaik di samping memainkan peranan penting dalam kebangkitan United musim ini. 

Dinafikan khidmat mereka, Ten Hag tiada pilihan kecuali menyandarkan nasib kepada duo Harry Maguire dan Victor Lindelof, yang sebelumnya kerap dikritik hebat. 

Tapi, seperti dirumuskan oleh Manchester Evening News, peredaran masa dan kesempatan bermain boleh menjadi ejen pengubah untuk United kini meraih laba daripada kedua-duanya. 

Padanan Maguire-Lindelof, yang dibantu Casemiro sedikit di hadapan mereka, membalas kepercayaan dengan rekod tanpa bolos sambil United mengukir satu kemenangan penting untuk terus melonjakkan peluang kelab itu layak ke Liga Juara-Juara (UCL) musim depan. 

David de Gea kini turut mendahului dalam perebutan anugerah sarung tangan emas Liga Perdana Inggeris (EPL) di samping tersenarai antara tiga terbaik dalam lima liga utama di Eropah – berkongsi kedudukan dengan Alex Meret (Napoli) dan hanya di belakang Ivan Provedel (Lazio) dan Marc-Andre ter Stegen (Barcelona). 





Satu lagi faktor penyumbang terhadap kekebalan benteng ialah pendekatan United dalam menyerap asakan dan jarang sekali membenarkan lawan melancarkan serangan berbahaya. 

Harus benar yang menyerang adalah corak bertahan terbaik dan United tidak pun perlu bimbangkan kemungkinan untuk dibolosi selagi bola masih dalam penguasaan mereka. 

Transformasi bertahan mereka juga didorong oleh hakikat bahawa Ten Hag menuntut kesemua pemainnya mempercayai pendekatan yang mahu diterapkannya. 

Ten Hag masih mempunyai kerja untuk dilakukan dalam mengerah trio serangannya menekan dengan intensif mengikut kemahuannya tapi mereka juga sudah menunjukkan kemajuan sejauh ini. 







Cuma, terdapat satu lagi kebimbangan. 

Pasukan dengan rekod bertahan terbaik telah memenangi EPL dalam empat daripada lima musim terakhir dan United masih sekadar di tempat ketujuh dalam aspek berkenaan. 

Di sebalik kerapnya mereka menggagalkan barisan penyerang lawan daripada membolosi pintu gol, kempen musim ini akan turut diingati daripada empat kali bolos di Brentford, enam kali di Manchester City dan tujuh yang bolos di Liverpool. 

Sebagai perbandingan, pasukan-pasukan seperti Chelsea dan Brighton dibolosi kurang jaringan. 

Jika United berupaya mengelakkan kekalutan di barisan pertahanannya, dan meneruskan rentetan tanpa bolos, maka bolehlah disimpulkan bahawa mereka sudah mencapai separuh perjalanan untuk mencapai piawaian yang diperlukan bagi mencabar kejuaraan. 

Ketika ini, masih banyak kerja yang perlu ditingkatkan tapi mereka sekurang-kurangnya berada di landasan yang tepat. 

 

 

 

Advertisement

Topik Berkaitan

Must Watch Video