Skip to main content

Bola Sepak

Sean mahu jadi tonggak Selangor

sean-selvaraj.jpg
Bintang dalam pembikinan Selangor, Sean Selvaraj, akan terus membuktikan kepada ketua jurulatih, B. Sathianathan, bahawa dia merupakan pemain tonggak pasukan itu selepas muncul wira The Red Giants ketika menundukkan Melaka 4-3, Sabtu lalu.

Sean menjaringkan dua gol pada lewat permainan bagi menyekat kebangkitan Melaka dalam pertembungan Liga Super di Stadium Hang Jebat itu.

Tandukkan pertamanya pada minit ke-84 mengikat kedudukan 3-3 sebelum memberikan kemenangan menakjubkan buat Selangor menerusi penyudah sama dalam waktu kecederaan.

"Ia memberikan perasaan terhebat sepanjang karier saya.

"Saya tidak pernah berasa seperti itu.

"Jurulatih memberikan saya hanya 15 minit untuk mencuba mendapatkan sekurang-kurangnya satu mata.

"Bagaimanapun, kami bukan sahaja mendapat satu mata tetapi mata penuh (tiga mata).

"Saya amat gembira dengan kemenangan pasukan.

"Saya juga mahu berterima kasih kepada jurulatih kerana memberikan saya peluang untuk menonjolkan diri," katanya.

Sean masih belum membarisi kesebelasan utama Selangor musim ini biarpun ia sudah memasuki perlawanan kelapan.

Setidak-tidaknya, dia mengharapkan agar sumbangan dua golnya itu sudah memadai untuk meyakinkan pengendali berkenaan.

"Ia soalan yang sukar untuk dijawab.

"Dua gol yang saya jaringkan itu sudah pasti akan menyukarkan Sathianathan untuk membuat keputusan selepas ini.

"Bagaimanapun, saya seorang pemain profesional dan akan menuruti setiap arahan jurulatih.

"Jika dia berasakan saya sudah bersedia untuk membarisi kesebelasan utama, saya akan memberikan yang terbaik dalam perlawanan Jumaat ini (menentang Perak)," tambahnya.

Advertisement

Must Watch Video