BUNDESLIGA
Schweinsteiger jaring gol dalam aksi testimonial Bayern, Chicago Fire
Bastian Schweinsteiger menjaringkan satu gol dalam perlawanan testimonial buat dirinya yang melibatkan Bayern Munich dan Chicago Fire di Allianz Arena, awal pagi tadi.
Pemain berusia 34 tahun itu menyempurnakan hantaran lintang David Alaba dalam babak kedua untuk memastikan Bayern menang 4-0 ke atas kelab dari Amerika Syarikat itu.
Schweinsteiger diberikan penghargaan kelmarin apabila disahkan berada dalam senarai dewan kemasyhuran Bayern di atas pencapaiannya bersama kelab dan negaranya, Jerman.
Iklan
Pemain tengah itu melakukan 500 penampilan bersama Bayern, memenangi 22 kejuaraan utama, termasuk tujuh gelaran berganda di peringkat domestik serta menjulang trofi Liga Juara-Juara Eropah pada 2013. Dia kemudian menyertai Manchester United selama dua tahun.
Schweinsteiger melakukan 121 penampilan bersama skuad kebangsaan Jerman dan menjulang trofi Piala Dunia empat tahun lalu sebelum mengumumkan persaraan peringkat antarabangsa setelah tamat saingan Euro 2016.
Dalam aksi di Allianz Arena itu, Schweinsteiger beraksi dalam setiap babak buat Bayern dan Chicago Fire, di mana Serge Gnabry, Sandro Wagner dan Arjen Robben turut meletakkan nama dalam senarai penjaring.
Seluruh stadium dipenuhi dengan warna merah dan dipaparkan jersi dengan nombor 31, angka terkenal yang digunakan oleh Schweinsteiger sepanjang 14 tahun bersama kelab.
Must-Watch Video