Skip to main content

Bola Sepak

Sazami: Kami sudah kaji permainan Sabah

img-20190404-wa0022.jpg
Penolong jurulatih Kelantan United FC, Sazami Shafii, bersyukur dengan kejayaan pemainnya mencipta sejarah layak ke pusingan ketiga Piala FA selepas mengejutkan pasukan pilihan, Sabah, 1-0 di Stadium Sultan Muhammad IV, malam tadi.

Berkongsi rahsia kejayaan, Sazami memuji kesungguhan pemain yang beraksi mengikut taktikal yang dirancang pengendali, Zahasmi Ismail, selain mengkaji kekuatan dan kelemahan skuad Tambadau itu.

"Alhamdulillah, syukur kepada Allah atas kejayaan cipta sejarah mara ke peringkat seterusnya. Pujian kepada semua pemain yang beraksi mengikut taktikal yang ditetapkan jurulatih.

"Sebenarnya, kami telah kaji corak permainan Sabah semasa mereka menentang Kelantan dalam aksi Liga Perdana sebelum ini.

"Mereka tidak banyak menggunakan bahagian tengah,  sebaliknya daripada pertahanan terus menghantar bola mencari tiga pemain import, Rodoljub Paunovic, Luiz Carlos Junior dan Luka Milunovic. Kita juga arahkan benteng pertahanan mengikat pergerakan perancang utama, Maxsius Musa,” katanya.

Sazami, yang juga bekas jurulatih skuad belia Kelantan, mengakui kemenangan tersebut cukup bermakna dan memberi lebih motivasi kepada pemain untuk mengharungi cabaran dalam Liga M3 dan kempen Piala FA yang lebih mencabar.

“Kami turun dengan semangat untuk buktikan walaupun daripada liga yang lebih rendah (Liga M3), kami masih boleh bersaing dengan pasukan berstatus Liga Perdana. 

"Sabah menurunkan kesebelasan terbaik, termasuk empat pemain import berbanding kami yang hanya mampu menurunkan seorang sahaja awang import," ujarnya.

Sazami juga tidak mahu peminat membandingkan keupayaan pasukan Kelantan United dengan The Red Warriors (TRW) yang beraksi dalam Liga Perdana.

“Kami tidak kata pasukan ini lebih baik tetapi Kelantan United memberikan satu suntikan baru kepada Kelantan dan kami adalah 'feeder' (pelapis) kepada skuad negeri.

“Kelantan United dan TRW tidak boleh dibandingkan. Masing-masing ada pemain tersendiri. Malah, kamijuga berharap peminat tidak membeza-bezakannya, cuma persamaannya kedua-dua pasukan ini daripada bendera (Kelantan) yang sama,” katanya.

Dalam aksi menarik malam tadi, jaringan tunggal penyerang sensasi Kelantan United,  Fakhrul Zaman Wan Abdullah Zawawi, melalui sepakan percuma menarik pada minit keenam perlawanan sudah cukup menyingkirkan skuad kendalian Jelius Ating itu untuk mara ke pusingan ketiga Piala FA.
 

Advertisement

Must Watch Video