Ketua pasukan Sabah FC, Park Tae-su optimis akan peluang yang dimiliki pasukannya untuk mencabar dan menewaskan JDT pada tahun ini.

Dalam sesi temubual yang disiarkan di YouTube 'Stef It Up Podcast', beliau menyatakan harapan untuk Sabah FC berjaya untuk mengatasi kehebatan pasukan Harimau Selatan itu setiap kali beraksi bertemu mereka di atas padang.

Beliau turut menyuarakan peluang itu mungkin akan hadir pada tahun ini apabila mereka telah pun melakukan persiapan terbaik untuk mencabar kedudukan Liga Super Malaysia terutamanya daripada pasukan JDT.

"Lawan dorang (JDT) memang susah, tak senang. Tapi, harapan saya dari dulu saya mahu menang lawan dorang (JDT). So, saya fikir sebelum start season tahun ini ada peluang, ada chance." ujarnya.

Akan tetapi, Park turut berasa hilang keyakinan untuk merealisasikan matlamat tersebut (menewaskan JDT) apabila penyerang berbisa mereka, Ramon Machado yang mengambil keputusan untuk meninggalkan Sabah FC baru-baru ini, sekaligus menjadi tamparan hebat sebelum perlawanan liga menentang JDT.

"Tapi, tiba-tiba Ramon keluar sebelum lawan dorang (JDT), tidak tahulah macamana mahu jadi. Tapi, kami akan buat yang terbaik" tambahnya lagi.

Dalam sesi yang sama, Park Tae-su turut menyeru agar penyokong-penyokong Sabah FC tetap memberi sokongan tidak berbelah-bagi dan memenuhkan stadium supaya dapat memberi semangat dan motivasti tinggi kepada pasukan di saat mereka memerlukannya.

Sabah FC akan melayan kunjungan JDT dalam aksi Liga Super Malaysia minggu ke-5 di Stadium Likas, Sabah pada Sabtu 13 Julai 2024 jam 8:15 malam.