Skip to main content

Bola Sepak

Saya perlu lebarkan jurang itu, kata Salah selepas atasi rekod Gerrard

salah.jpg
Mohamed Salah meletakkan sasaran untuk melebarkan jurang jaringannya dengan Steven Gerrard selepas penyerang berbangsa Mesir itu mengatasi rekod legenda Liverpool berkenaan sebagai penjaring terbanyak skuad The Reds itu dalam Liga Juara-Juara Eropah (UCL).

Salah menjaringkan golnya yang ke-22 dalam UCL -- tidak termasuk pusingan kelayakan --sepanjang bersama Liverpool pada minit pertama perlawanan menentang Midtjylland di MCH Arena awal pagi tadi.

Ia menyaksikan dia mengatasi rekod 21 gol milik bekas kapten Liverpool, Gerrard, yang memenangi UCL musim 2004-05.

Gol pembukaan Liverpool itu juga merupakan jaringan terpantas dalam sejarah UCL, di mana Salah memanfaatkan hantaran ke belakang tidak kemas pasukan pelawat berkenaan untuk menemui sasaran pada 55 saat pertama.

Midtjylland bangkit menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti yang diberikan selepas rujukan video bantuan pengadil (VAR).

Alexander Scholz menyudahkan sepakan penalti itu dan hampir menjaringkan gol kemenangan pelawat yang kemudian dibatalkan VAR -- teknologi sama yang menafikan gol kemenangan Takumi Minamino buat Liverpool.

Bercakap kepada BT Sport selepas tamat perlawanan, Salah gembira memahat nama dalam buku rekod Liverpool tetapi mahu mencipta jurang yang lebih besar pada masa akan datang.
 
"Ia perasaan yang hebat untuk menjadi penjaring terbanyak kelab ini. Ia sesuatu yang membanggakan saya," kata pemain berusia 28 tahun itu.

"Saya perlu meneruskannya, menjaringkan lebih banyak gol, melebarkan jurang di antara saya dan pemain lain! Saya mencuba setiap masa untuk menjaringkan gol dan membantu pasukan memenangi setiap perlawanan.

"Ia antara jaringan paling penting. Mereka bermain dengan baik, hampir menyekat semua pemain kami.

"Kami menjaringkan gol awal tetapi mereka membalasnya. Mereka bermain dengan amat baik.

"Perkara paling penting adalah kami layak (ke pusingan 16). Ia satu perlawanan untuk dijadikan pengajaran," katanya lagi.
 

Advertisement

Must Watch Video