BOLA SEPAK
Saya bukan bapa Neymar -- Tuchel
Pengurus Paris Saint-Germain PSG), Thomas Tuchel, mendakwa tidak menyedari dan tidak peduli laporan tentang Neymar berkunjung ke Turin dua hari sebelum aksi final Piala Perancis.
Menurut laporan di Itali, bintang Brazil itu meninggalkan Paris untuk menghadiri majlis bersama rakan senegara dan pemain sayap Juventus, Douglas Costa.
Pemain berusia 27 tahun itu baru sahaja kembali beraksi sejak berehat selama tiga bulan ekoran kecederaan ketika mengatasi Monaco dalam saingan Ligue 1 minggu lalu.
Iklan
Dia dijangka akan kembali dalam kesebelasan utama PSG untuk berdepan Rennes di Stade de France dan Tuchel menjelaskan pergerakkan Neymar sebelum perlawanan bukan tanggungjawabnya.
"Saya tidak tahu mengenainya," kata Tuchel.
"Saya bukan bapa, polis atau detektif.
"Saya ketua jurulatih PSG dan dia bersama kami dalam sesi latihan."
Penglibatan Neymar ketika meraih kemenangan 3-1 ke atas Monaco hadir tepat dengan Edinson Cavani yang kembali daripada kecederaan pinggul untuk memperkuatkan semula jentera serangan pasukan.
Kylian Mbappe, yang bertindak sebagai tonggak utama dalam ketiadaan dua pemain itu, meledak hatrik bagi memperbaharui rekod jaringannya musim ini dalam saingan Ligue 1 kepada 30 gol -- pemain termuda mencapai penanda aras itu.
"Dia sudah menjadi pemain yang boleh dipercayai, pemain yang menentukan keputusan perlawanan memihak kami," kata Tuchel.
"Kebolehannya semakin meningkat dan menjadi seorang pemain yang penting buat pasukan."
Must-Watch Video