Skip to main content

Bola Sepak

Sathianathan kecewa Selangor gagal raih kemenangan di Shah Alam

59839268_2634184509987371_3045646053593317376_o.jpg
Ketua jurulatih Selangor, B. Sathianathan, jelas kecewa dengan kegagalan skuad Gergasi Merah itu melakar kemenangan ke atas Melaka dalam aksi Liga Super di Stadium Shah Alam, semalam.

Pengendali berusia 60 tahun itu mendedahkan keputusan seri 1-1 dengan pasukan pelawat tidak sepatutnya berlaku sekiranya anak didiknya menyempurnakan banyak peluang terhidang dalam perlawanan berkenaan.

"Kami mempunyai banyak peluang terhidang selepas mendapat gol pertama tetapi pemain gagal mengambil peluang itu dan tiada pemain yang mampu membuat penyudah.

"Satu yang saya kurang berpuas hati apabila kami mendahului satu gol, pemain mula memperlahankan permainan dan hilang fokus tetapi saya memuji usaha yang ditunjukkan pemain serta kombinasi antara pemain semua menjadi," katanya.

Sehubungan itu, Sathianathan berharap kemasukan pemain import baru, Ifedayo Olusegun dari Nigeria, mampu mengatasi ketumpulan jentera skuad Gergasi Merah yang terlalu mengharapkan penyerang berbisa dari Sepanyol, Rufino Segovia.

Selangor terpaksa melupakan khidmat pemenang anugerah kasut emas Liga Super 2018 itu yang dilaporkan mengalami kecederaan kaki yang serius Mac lalu dan perlu berehat sekurang-kurangnya empat bulan.

Dalam aksi di Shah Alam malam tadi, Selangor terlebih dahulu menjaringkan gol pembukaan pada minit ke-30 menerusi Syahmi Safari sebelum Melaka menyamakan kedudukan hasil jaringan pemain import dari Filipina, Patrick Reichelt, pada minit ke-59.

Sementara itu, jurulatih Melaka, Zainal Abidin Hassan, memuji kebangkitan yang ditunjukkan anak buahnya untuk memastikan satu mata berharga di Shah Alam.

Keputusan ini juga membolehkan Melaka mengekalkan rekod tanpa kalah tiga perlawanan berturut-turut.

"Saya sangat berpuas hati dengan satu mata ini, pemain-pemain berusaha memastikan Melaka tidak tewas dalam perlawanan ini," kata Zainal.

-- BERNAMA

Advertisement

Must Watch Video