UEL
Sarri puji keberkesanan Hazard
Maurizio Sarri berhasrat untuk mengelak daripada kehilangan pemain utama seperti Eden Hazard kerana impiannya adalah untuk menjadikan Chelsea sebagai pasukan terbaik di Eropah.
Penyerang Belgium tersebut dikaitkan dengan perpindahan ke Real Madrid dan Sarri mengakui selepas persembahan cemerlangnya ketika bertemu West Ham Isnin lalu, adalah "mustahil" untuk mencari pengganti sepertinya.
Ditanya sama ada pemain berusia 28 tahun itu adalah yang terbaik di dunia ketika ditemui dalam sidang akhbar menjelang aksi Liga Europa dengan Slavia Prague, awal pagi esok, Sarri berkata: "Sukar untuk mengatakannya tetapi sudah tentu Eden merupakan salah seorang yang terbaik.
Iklan
"Sukar untuk mengatakan dia adalah yang terbaik tetapi pada pandangan saya, impian kami haruslah untuk muncul sebagai pasukan terbaik di Eropah dengan tidak banyak membuat perubahan terhadap pasukan."
Pertembungan di Prague itu akan dilangsungkan dengan sebahagian tempat duduk dikosongkan selepas Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) mengenakan hukuman tersebut susulan beberapa insiden ketika perlawanan menentang Genk di peringkat 32 lalu tetapi Sarri hanya tertarik dengan apa yang berlaku di padang.
"Perlawanan ini tetap akan berlangsung di padang. Kami perlu berhati-hati," jelasnya.
"Pada pendapat saya, ini adalah perlawanan yang sangat berbahaya bagi kami, mereka menjaringkan enam gol dalam dua perlawanan menentang Sevilla (dalam pusingan 16) dan mereka sangat berbahaya. Mereka mempunyai kepantasan, jadi kami perlu beraksi dengan sangat padat dan bertahan dengan sangat baik.
"Mereka cukup berbahaya, khususnya hantaran lintang apabila mereka meletakkan lima atau enam pemain dan ia kelihatan berbahaya dalam serangan balas. Ia bukan satu tugas mudah buat kami."
Kunjungan ke Republik Czech itu akan berlangsung tiga hari selepas kemenangan mereka ke atas West Ham di Stamford Bridge.
Sehubungan itu, Sarri menjelaskan ia mendorongnya untuk membuat rombakan disebabkan tempoh pemulihan yang singkat sambil Hazard berpotensi direhatkan sebagai persiapan menghadapi Liverpool dalam aksi liga, Ahad ini.
"Saya tidak pasti kerana semalam (Hazard) hanya berlatih di gim, jadi saya tidak sempat melihat keadaannya," katanya.
"Pagi ini, dia berasa letih, sama seperti pemain lain yang beraksi sepanjang 90 minit yang lalu. Jadi, saya mahu tunggu sehingga pagi esok sebelum membuat keputusan.
"Slavia beraksi pada Sabtu lalu tetapi perlawanan kami pula berlangsung Isnin, saya tidak tahu kenapa tetapi kami perlu menukar lima atau enam pemain."
Walaupun perlu melakukan rombakan, Sarri mengesahkan Danny Drinkwater tidak akan terlibat kerana pemain tengah itu tidak sesuai dengan gaya bola sepak Itali.
"Dia tidak pernah bermain kerana pada pendapat saya, dia tidak sesuai dengan sistem dan corak permainan yang saya amalkan. Saya sudah memaklumkan kepadanya Ogos lalu, dia menghargainya tetapi memutuskan untuk kekal. Dia tahu situasinya dengan jelas," kata Sarri.
"Saya berkata kepadanya supaya mencari sesuatu yang berbeza tetapi dia memutuskan untuk kekal, dia seorang pemain yang baik, pemain yang bagus tetapi dia tidak sesuai untuk corak permainan saya."
Must-Watch Video