Skip to main content

Advertisement

Bola Sepak

Sarri mahu bantu Ronaldo cipta lebih banyak rekod

cristianoronaldo.jpg
Maurizio Sarri berharap dapat membantu Cristiano Ronaldo melakar lebih banyak sejarah bersama Juventus dan meletakkan sasaran untuk memperbaharui rekod jaringan semusim untuk saingan Serie A.

Bekas pengendali Napoli dan Chelsea, Sarri, dilantik sebagai ketua jurulatih baru Juve selepas Massimiliano Allegri menamatkan khidmatnya setelah membantu pasukan menjuarai Scudetto buat kali kelapan berturut-turut.

Ronaldo, yang tiba daripada  Real Madrid tahun lalu, mencetak 21 gol dalam saingan Serie A tetapi ketinggalan di belakang pemenang Capocannoniere, Fabio Quagliarella (26 gol).

Ketika Sarri mengendalikan Napoli, Gonzalo Higuain meledak 36 gol bagi musim 2015-16 dan dia mahu Ronaldo mengikut jejak langkah yang sama.

"Saya kini memiliki barisan pemain yang lebih berkualiti," kata Sarri.

"Sejak beberapa tahun lalu, saya telah meraih pengalaman membimbing barisan pemain berkualiti, kemudian saya ke Chelsea. Kembali ke Itali bersama Juve merupakan satu langkah ke hadapan bagi saya. Ronaldo masih lagi berada dalam kalangan terbaik dunia.

"Dia seorang yang meletak sasaran untuk memecahkan rekod dunia bola sepak dan saya mahu membantunya. Saya berharap dapat menurunkan ilmu kepadanya.

"Sebagai contoh, saya pernah membimbing Higuain melakar rekod jaringan terbanyak dalam Serie A dan sekarang saya mahu membantu Ronaldo melakukannya."

Bintang Juve, Paulo Dybala, bergelut untuk mendapatkan rentak terbaik beraksi seiring dengan Ronaldo musim lalu hingga dikaitkan bakal berhijrah tetapi Sarri yakin dia mampu mendapatkan peranan yang lebih berkesan untuk kedua-dua pemain.

"Saya percaya Ronaldo dan Dybala mampu mendapatkan keserasian.

"Beberapa perubahan harus dilakukan. Pasukan ini perlu menyesuaikan diri, ia merupakan asas untuk mendapatkan keputusan yang diinginkan."

Advertisement

Must Watch Video