Skip to main content

Bola Sepak

Sarri: Kemaraan ke final Piala EFL setanding pencapaian Tottenham

sarri.jpg
Maurizio Sarri melabel pencapaian membawa Chelsea ke perlawanan akhir Piala Liga Inggeris (EFL) musim ini adalah setanding dengan kejayaan Tottenham mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara (UCL). 

The Blues menundukkan Liverpool (pusingan ketiga) dan Tottenham (separuh akhir) selain mengatasi Derby County dan Bournemouth dalam merintis laluan ke final sebelum dikecewakan Manchester City dalam penentuan penalti aksi perlawanan akhir Piala EFL, Februari lalu. 

Chelsea kini berjuang untuk merebut empat tempat teratas Liga Perdana Inggeris (EPL) dan perlu mengharungi aksi separuh akhir Liga Europa selepas menang dengan agregat 5-3 ke atas Slavia Prague untuk mereka mempunyai dua pintu layak ke UCL musim depan.

Sarri menegaskan kelayakan ke kejohanan kelab elit Eropah itu bukanlah segalanya sambil mendakwa pentas itu memerlukan tuah untuk mara jauh. 

"Saya sedar kancah EPL sangat sukar," kata Sarri. "Untuk layak ke perlawanan akhir Piala EFL memerlukan kami menghadapi Liverpool, Tottenham dan perlawanan terakhir pula membabitkan Manchester City. Saya fikir lebih mudah untuk sampai ke perlawanan akhir UCL."

Tottenham mengetepikan Borussia Dortmund dan Man City untuk terus menghidupkan kempen Eropah mereka.

"Terlalu banyak pihak yang menjadikan UCL sesuatu yang sangat penting," tambah Sarri. 

"Sudah tentu, ia adalah pentas saingan paling penting buat kelab-kelab tetapi ia juga menempuhi proses penyingkiran. Kadang-kadang anda memerlukan nasib untuk menyebelahi anda atau sebaliknya. 

"Jadi, kami perlu bermain dengan baik tetapi anda masih memerlukan tuah dalam pertandingan itu. Saya faham jika kekal dalam saingan UCL, ia satu dunia lain yang berbeza. 

"Saya pernah mengharungi kempen UCL sebanyak dua kali dan jelas sekali ia satu saingan paling penting buat kelab di Eropah, namun saingan itu juga memerlukan nasib untuk menyebelahi anda."

Chelsea akan berdepan Eintracht Frankfurt untuk merebut slot final Liga Europa tetapi mereka perlu menghadapi Burnley dan Manchester United dalam kempen Liga Perdana terlebih dahulu. 

Sarri, bagaimanapun, enggan bersikap pilih kasih selain menganggap kesudahan kempen musim ini masih kabur. 

"Pada masa ini, kami tidak boleh terlalu memilih," katanya. "Kami perlu mencuba nasib dalam Liga Perdana dan Liga Europa. Apapun, kami mahu memenangi Liga Europa kerana ia merupakan saingan yang sangat penting, bukan hanya kerana ia menawarkan slot UCL. 

"Kami perlu dapatkan kedudukan empat teratas. Ia bukan sesuatu yang mudah kerana liga berbaki empat perlawanan, namun kami perlu terus mencuba.

"Empat atau lima perlawanan terakhir akan menjadi sukar buat setiap pasukan yang terlibat dalam perjuangan merebut kedudukan empat teratas. Ia bukan mengenai kami sahaja, sebab itulah kita dapat lihat beberapa keputusan yang sangat aneh di peringkat akhir musim ini."

Dalam masa sama, Sarri, yang berdepan tekanan hebat dalam kempen sulungnya di England, mengharapkan Eden Hazard akan cergas untuk menentang Burnley, awal pagi esok, setelah diketepikan ketika pertemuan dengan Slavia Prague sebagai langkah berjaga-jaga.

"Dia mengalami kecederaan ketika kami bercakap ketika waktu rehat," kata Sarri. "Dia memberitahu akan cuba menghabiskan permainan tetapi saya tidak mahu mengambil risiko memandangkan kami ada satu lagi perlawanan penting dalam tempoh tiga atau empat hari lagi. Sebab itulah saya fikir lebih baik mengeluarkannya.

"Saya fikir dia akan cergas. Saya perlu bercakap dengan doktor, jadi saya belum dapat pastikannya lagi tetapi pada firasat saya, situasinya tidak serius."













 

Advertisement

Must Watch Video