Skip to main content

Bola Sepak

Sarri bimbang ganding Ronaldo, Dybala, Higuain

ronaldo.jpg
Pengurus Juventus, Maurizio Sarri, enggan menggandingkan Cristiano Ronaldo, Paulo Dybala dan Gonzalo Higuain dalam kesebelasan utama pasukannya.

Higuain dikhabarkan akan meninggalkan Juve dalam jendela perpindahan lalu, namun selepas beraksi di bawah kendalian Sarri sewaktu di Napoli dan Chelsea, pemain berusia 31 tahun itu telah diberikan peranan utama sepanjang musim ini.

Penyerang itu tersenarai dalam lima daripada enam perlawanan Serie A musim ini, empat daripadanya sebagai kesebelasan utama biarpun hanya berhasil menjaringkan satu gol -- ketika kemenangan 4-3 ke atas Napoli, Ogos lalu.

Ronaldo dan Dybala digandingkan ketika menentang SPAL dalam Serie A, Sabtu lalu, dengan Dybala membantu Ronaldo menjaringkan gol kedua Juve pada lewat permainan.

Bagaimanapun, gandingan itu bergelut untuk menghasilkan jaringan sebelum Ronaldo menanduk masuk umpanan Dybala susulan jaringan gemilang Miralem Pjanic dalam babak pertama.

Walaupun pasukannya kerap membazirkan peluang sepanjang beberapa minggu lalu, Sarri tidak berniat untuk meletakkan tiga pemain di bahagian serangan.

"Meletakkan Cristiano, Dybala dan Higuain serentak sejak awal permainan merupakan cadangan yang menarik," katanya dalam sidang media menjelang perlawanan Liga Juara-Juara dengan Bayer Leverkusen di Turin awal pagi esok.

"Tetapi kami belum bersedia daripada aspek tahap keseimbangan yang diperlukan.

"Buat masa ini, kami hanya boleh menggunakannya bagi sebahagian perlawanan.

"Ia hipotesis yang amat menarik tetapi anda perlu melihat secara keseluruhan.

"Buat yang menyaksikannya, ia pasti indah, (namun) kami perlu menilai segala-galanya," katanya.

Merumitkan lagi situasi Sarri adalah kepulangan semula Aaron Ramsey, yang baru pulih daripada kecederaan selepas terlepas hampir keseluruhan musim terakhirnya bersama Arsenal.

Biarpun diletakkan sebagai pemain gantian dalam perlawanan pembukaan Liga Juara-Juara menentang Atletico Madrid, Ramsey tersenarai dalam kesebelasan utama bagi tiga perlawanan Serie A -- menandakan penampilan pertamanya dengan gol ke atas Hellas Verona, yang dimenangi Juve 2-1.

Kecepatannya untuk mengatasi kecederaan itu benar-benar mengejutkan Sarri walaupun pengendali Juve berkenaan mengakui masih banyak peningkatan yang diperlukan pemain kebangsaan Wales itu.

"Ramsey telah mengejutkan saya dengan tempoh pemulihannya dan dia dapat menyertai pasukan utama dengan segera.

"Bagaimanapun, saya percaya masih banyak ruang untuk diperbaikinya.

"Saya dapat melihat banyak penglibatannya dalam sesi latihan dan ia memberikan saya harapan.

"Dalam dua perlawanan lalu, kelincahannya untuk melakukan gelecekan sudah meningkat.

"Sekarang, kami perlu membantunya untuk meningkatkan jaringan kami," tambahnya.
 

Advertisement

Must Watch Video