Skip to main content

Bola Sepak

Sarawak bangkit kecewakan TFC II

img_5525.jpg
TERENGGANU FC II 1 SARAWAK 2

Sarawak bangkit daripada ketinggalan satu gol untuk menewaskan Terengganu FC (TFC) II 2-1 dalam aksi Liga Perdana di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, sebentar tadi.

Babak pertama dikuasai tuan rumah yang tampil garang di awal permainan melalui dua percubaan Mohamad Ramzi Suffian yang sekadar tinggi melepasi sasaran.

Sarawak berupaya melancarkan serangan balas pada minit ke-12 yang menyaksikan usaha kapten, Bobby Gonzales, tepat ke arah penjaga gol TFC II, Mohd Sharmiza Yusoff.

TFC II kemudian mendahului pada minit ke-15 menerusi Akanni Sunday Wasiu yang mudah menolak masuk bola selepas rembatan Muhammad Zuasyraf Zulkefle terkena tiang. 

Mohamad Ridzuan Razali (m-19) berpeluang menjarakkan kedudukan, namun sepakan lemahnya hasil umpanan Marcel N'Guessan diselamatkan Shaiful Wazizi Mohammad.

Empat minit selepas itu, Shaiful bertindak pantas menyelamatkan situasi satu lawan satu berdepan Ridzuan sebelum menafikan rembatan Bruno Suzuki pada minit ke-27.

Keghairahan TFC II menyerang dihukum Sarawak yang mengambil kesempatan untuk menyamakan kedudukan 1-1 pada minit ke-35 melalui pemain import, Hudson Dias.

Bersambung babak kedua, Shaiful terus cemerlang menepis rembatan kencang Suzuki (m-56) dari dalam kotak penalti, sekali gus menafikan TFC II untuk kembali di depan.

Hudson mengejutkan TFC II menerusi serangan balas pada minit ke-75 apabila membuat larian solo dari kawasan sendiri sebelum menewaskan Sharmiza buat kali kedua.

Kedudukan kekal sehingga tamat, sekali gus melonjakkan Sarawak ke tangga kelapan dengan lapan mata manakala TFC II kekal kelima dengan mengumpul 12 mata.

Keputusan lain:

SABAH 1 UITM 1

UKM 2 SELANGOR UNITED 2

Advertisement

Must Watch Video