Skip to main content

Bola Sepak

Salah sedia padam mimpi ngeri Liga Juara-Juara

salah.jpg
Bintang Liverpool, Mohamed Salah, memasang impian untuk menjaringkan gol kemenangan dalam final Liga Juara-Juara Eropah bagi memadamkan igauan ngeri musim lalu.

Salah dan Liverpool akan menghadapi final kedua berturut-turut dalam Liga Juara-Juara dengan berdepan Tottenham Hotspur di Madrid, hujung minggu ini.

Liverpool tewas 1-3 kepada Real Madrid musim lalu -- keputusan yang dipengaruhi oleh kecederaan bahu Salah di mana bintang Mesir itu turut dilihat mengalirkan air mata ketika diusung keluar di Kiev.

Bagaimanapun, selepas 12 bulan, Salah -- yang menjaringkan 26 gol dalam kesemua kejohanan musim ini -- sudah bertekad untuk memadamkan kekecewaan itu.

"Saya amat gembira apabila saya berpeluang untuk beraksi dalam satu lagi final. Saya berharap dapat bermain sepenuh masa," katanya kepada beIN SPORTS. 

"Saya amat teruja untuk melaluinya.

"Saya berharap kami dapat memperbetulkan apa yang terjadi musim lalu, mendapatkan keputusan yang baik dan memenangi kejohanan."

Ditanya sama ada dia mengimpikan untuk menjaringkan gol kemenangan, Salah menjawab: "Ia bukan sekadar impian. Saya berharap ia akan menjadi realiti dan saya akan menjaringkan gol dalam final, kemudian memenangi Piala Negara-Negara Afrika (bulan depan) juga."

Salah menambah: "Ia merupakan final kedua kami secara berturut-turut. Kami tewas yang pertama tetapi segala-galanya nampak baik kali ini dan kami sudah memiliki pengalaman yang diperlukan.

"Kami tidak sabar dan sudah melakukan fasa persiapan yang baik di Sepanyol.

"Kami pulang ke Liverpool dan memperoleh motivasi yang baik sebagai pemain dan tenaga kejurulatihan.

"Saya berharap kami dapat memenanginya kali ini.

"Kami menjalankan persiapan yang baik di Sepanyol dan ia merupakan waktu yang baik untuk menyesuaikan diri di sana.

"Pasukan ini sedang berada di tahap fizikal terbaik, jadi saya harap ia akan menjadi kelebihan buat kami," katanya.

Advertisement

Must Watch Video