BOLA SEPAK MSIA
Safiq, Aidil, Amirulhadi, Kunanlan miliki pengalaman berharga
Keperluan posisi dan pengalaman luas di peringkat antarabangsa dianggap menjadi kriteria utama pemilihan empat pemain yang bersara untuk kembali memperkuat Harimau Malaya menentang Lubnan, 13 Jun ini.
Kelmarin, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengumumkan senarai 26 pemain skuad negara untuk menghadapi perlawanan Kelayakan Piala Asia 2019 bertemu Lubnan.
Antara yang tersenarai ialah empat pemain tonggak yang bersara sebelum ini -- Safiq Rahim, Aidil Zafuan Abdul Radzak, S. Kunanlan dan Amirulhadi Zainal.
Iklan
Mengetepikan isu persaraan empat pemain itu, penganalisis bola sepak tempatan, Asmawi Bakiri, menegaskan kehadiran mereka mampu mengimbangi kekuatan pasukan, terutama kelibat Safiq yang paling menyerlah daripada pemain lain menerusi lapan gol daripada 13 perlawanan musim ini.
"Kalau dilihat, ia satu keperluan mengikut posisi yang diperlukan. Pada masa sama, kehadiran empat pemain ini akan banyak membantu daripada segi penampilan di peringkat antarabangsa.
"Mereka ini memiliki pengalaman di peringkat teratas, contohnya PialaAFC, jadi faktor itu mampu membantu skuad negara," jelasnya.
Begitupun, Asmawi berpendapat pemain seperti Kunanlan dan Amirulhadi perlu bersaing sengit merebut tempat susulan pemain sedia ada berada pada prestasi terbaik di posisi masing-masing.
"Kalau kita lihat, JDT ada 11 wakil, Selangor dua, PKNS satu, Kedah tiga, Perak dan Pahang juga memiliki empat pemain.
"Jadi, ini adalah berdasarkan prestasi pasukan dalam saingan liga. Pemilihan pemain adalah berdasarkan prestasi terbaik mereka di posisi masing-masing.
"Kemasukan semula empat pemain yang dipanggil semula ini sudah tentu akan menghadirkan impak," tambahnya.
Must-Watch Video