Skip to main content

Bola Sepak

Safawi sedia robek gawang Jordan

skuad-malaysia.jpg
Penyerang negara, Muhammad Safawi Rasid, menjadi taruhan utama skuad Harimau Malaya untuk merobek gawang Jordan dalam perlawanan persahabatan antarabangsa di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam esok.

Prestasi terbaik yang ditampilkan bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam saingan Liga Malaysia 2019 dengan meledak 13 gol, termasuk empat gol dicetak dalam empat perlawanan Piala Malaysia, menjadi motivasi terbaik buat bintang Harimau Selatan itu ketika berdepan pasukan di ranking ke-99 dunia tersebut.

Bercakap dalam sidang media praperlawanan di venue perlawanan hari ini, Safawi, 22, berazam untuk mengekalkan rentak cemerlang itu untuk membantu pasukan mencipta kemenangan, namun menjelaskan kerjasama dalam pasukan adalah kunci utama bagi mendapatkan keputusan positif.

“Saya cuba kekalkan rentak serta prestasi macam mana saya bermain untuk JDT dan akan bawa ia dalam skuad kebangsaan untuk membantu pasukan.

“Bagi saya, prestasi individu tidak penting, kerjasama antara pemain lagi penting. Saya tidak akan dapat capai apa yang dicapai ketika ini kalau bukan sebab rakan sepasukan,” katanya.

Pada masa sama, pemain kelahiran Dungun, Terengganu itu berkata setiap aksi melibatkan skuad kebangsaan adalah penting dan semua pemain perlu memberi sepenuh tumpuan terhadap perlawanan.

Dia percaya skuad kebangsaan, yang kini menghuni ranking ke-159 dunia, mampu memberi tentangan sengit kepada Jordan, terutama setelah memahami sepenuhnya taktikal permainan yang dituntut ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe.

“Bagi saya, mana mana perlawanan (melibatkan) kami, semua (pemain) tidak akan ambil mudah dan cuba beri yang terbaik kepada pasukan. Kami tahu kalau berjumpa dengan mana-mana pasukan, jika kami ambil mudah, maka kami akan dapat keputusan kurang baik.

“Tetapi saya rasa tiada masalah untuk kami lawan Jordan sebab pemain kini sudah faham apa yang jurulatih mahu kami jelmakan di atas padang,” tambahnya.

Selepas Jordan, Malaysia akan menentang Indonesia di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta, 5 September ini sebelum melayani kunjungan Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 10 September dalam dua aksi pertama Kumpulan G saingan pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 itu.

-- BERNAMA

Advertisement

Must Watch Video