Penyerang negara, Safawi Rasid, gembira apabila rakan seperjuangannya mendapat layanan 'kelas pertama' sepanjang kem latihan pusat di Johor ketika ini.
Dia menyifatkan kemudahan yang disediakan Johor Darul Ta'zim (JDT) sepanjang kem latihan kali ini menjadi faktor utama terhadap perkembangan positif yang dipamerkan Harimau Malaya ketika ini.
Safawi juga tidak berkecil hati dipinggirkan daripada skuad kali ini dan mahu berusaha mendapatkan sentuhan terbaiknya di Thailand.
Penyerang JDT yang dipinjamkan ke Ratchaburi itu berkata kepada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam: "Saya rasa amat gembira kerana TMJ (Pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim) menyediakan stadium dan fasiliti terbaik untuk meningkatkan semangat pemain kita untuk beraksi lebih baik.
"Sewaktu menentang Turkmenistan, bagi saya kita telah beraksi baik kerana permukaan padang yang baik, jadi saya gembira melihat mereka bermain.
"Saya rasa bukan rezeki saya untuk menerima panggilan kali ini tetapi saya tetap gembira kerana kita memperoleh keputusan yang positif dan ia akan diteruskan," katanya
Sebagai rekod, skuad negara meraih kemenangan 1-0 ke atas Turkmenistan dalam perlawanan persahabatan tier 1 di Stadium Sultan Ibrahim pada Khamis lalu.
Harimau Malaya seterusnya akan berdepan Hong Kong bagi satu lagi aksi persahabatan pada Selasa ini.
Muzaffar Musa
Sun Mar 26 2023