Skip to main content

Bola Sepak

Sabah tidak pandang rendah Kelantan United

pemangku-presiden-persatuan-bolasepak-sabah,-datuk-peter-anthony.jpg
Sabah tidak memandang mudah cabaran Kelantan United, namun yakin mereka mampu mengatasi pasukan itu dalam aksi pusingan kedua Piala FA di Stadium Sultan Mohammad IV, Kota Bharu, Rabu ini.

Pemangku Presiden Persatuan Bolasepak Sabah, Datuk Peter Anthony, berkata walaupun Kelantan United adalah pasukan daripada saingan Divisyen 3 atau Liga M3, mereka tidak harus memandang rendah kekuatan lawan.

"Saya yakin kami mampu melepasi pusingan kedua ini bukan kerana lawan adalah daripada saingan Divisyen 3, sebaliknya adalah kerana prestasi pasukan kini di tahap baik. Prestasi baik dalam saingan liga ini perlu dimanfaatkan untuk saingan Piala FA.

"Kami akan memberi layanan sama kepada semua pertandingan yang disertai dalam Liga Malaysia, termasuklah Piala FA ini," katanya ketika dihubungi hari ini.

Skuad Tambadau kini merupakan pendahulu carta Liga Perdana selepas mengumpul 14 mata daripada tujuh perlawanan dengan rekod empat menang dan dua seri dalam enam perlawanan terakhir selepas kalah perlawanan pertama.

Kelantan United pula di tangga ketiga carta LM3 selepas mengumpul enam mata daripada tiga perlawanan dengan rekod dua kemenangan dan satu kalah.

Peter percaya barisan jurulatih yang diketuai Jelius Ating sudah ada rencana terbaik dan pemain juga sudah bersedia sepenuhnya untuk menghadapi Kelantan United.

"Saya yakin kami boleh menang walaupun bermain di tempat lawan dengan syarat pemain memberikan persembahan terbaik tanpa memandang rendah lawan," katanya.

Sebagai rekod, Sabah tersingkir di tangan skuad Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT), dalam pusingan kedua saingan itu musim lalu. 

Pencapaian terbaik Sabah dalam pertandingan itu ialah muncul juara pada 1995 selain pernah muncul finalis edisi 1993, 1994 dan1998.

Advertisement

Must Watch Video