Skip to main content

Bola Sepak

Sabah miliki ramai pemain berbakat -- Aminuddin

sabah_1.jpg
Ketua Program Pembangunan Bola Sepak Kebangsaan (NFDP), Aminuddin Hussin, berkata Sabah memiliki ramai pemain berbakat yang berpotensi untuk pergi lebih jauh dalam sukan itu. 

Bagaimanapun, usaha itu perlulah ditingkatkan, termasuk melahirkan jurulatih bertauliah dan berdedikasi tinggi, terutama dalam melatih pemain di peringkat akar umbi yang berusia 8 tahun hingga 12 tahun.

"Program akar umbi memerlukan sekurang-kurangnya 12 tahun untuk pemain ini memahami, melakukan dan mengadaptasi asas yang kukuh, terutama empat kemahiran teknikal utama, iaitu sentuhan bola pertama, hantaran bola, berlari dengan bola dan satu lawan satu. 

"Semua ini juga memerlukan jurulatih yang memahami dan pengetahuan yang tinggi dalam mengendalikan umur pada usia ini," katanya ketika ditemui mengendalikan Kursus Akar Umbi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dengan kerjasama Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) Penampang di Kompleks Sukan Penampang baru-baru ini. 

Aminuddin berkata pemain Sabah seperti Mohd Azizan Nordin, Sabri Sahar dan Maxius Musa antara pemain yang dikesan bakat mereka pada usia 13 tahun ketika beliau dilantik sebagai pengarah pembangunan belia FAM pada 2007 sehingga kesemua pemain itu diserap dalam skuad Harimau Muda C di bawah kendalian beliau.

"Saya juga berbangga dengan mereka (Azizan, Sabri dan Maxsius) kerana mereka kini menjadi antara tonggak penting pasukan Sabah sehingga kini," katanya. 

Terdahulu, seramai 30 peserta menyertai Kursus Akar Umbi FAM itu yang datang dari beberapa daerah di negeri ini.

Program dikendalikan Aminuddin itu turut dibantu jurulatih, Taufiq Cheng Abdullah, sebagai pembantu instruktur.

Majlis penutupan kursus berkenaan disempurnakan Presiden SAFA Penampang, Batholomew Jingulam.


Editor: Shaiful Shamsudin 
 

Advertisement

Must Watch Video

Advertisement: No Ad Tag found