Skip to main content

Bola Sepak

Rosle mahu tebus kehampaan Liga Super

roslee.jpg
Ketua jurulatih sementara Kuala Lumpur, Rosle Md Derus, mahu anak buahnya menjadikan saingan Piala Cabaran 2019 sebagai medan terbaik untuk mengubati kedukaan tersingkir ke Liga Perdana musim depan.

Skuad Warga Kota itu gagal melunaskan misi kekal dalam Liga Super selepas menamatkan saingan musim ini di kedudukan tercorot, sekali gus menyaksikan mereka muncul pasukan tunggal daripada saingan liga tertinggi yang mengambil bahagian dalam Piala Cabaran musim ini.

Undian hari ini menyaksikan Kuala Lumpur diletakkan dalam Kumpulan B bersama juara dan naib juara musim lalu, Terengganu FC (TFC) II dan UKM FC, serta Selangor United.

"Saya rasa pasukan daripada Liga Super sepatutnya boleh menjadi juara tetapi pesaing daripada Liga Perdana tidak kurang hebatnya. Saya juga rasa ia satu pertandingan yang sukar buat Kuala Lumpur," kata Rosle.

Edisi kedua Piala Cabaran menyaksikan hanya tujuh pasukan terlibat selepas Liga Bolasepak Malaysia (MFL) memutuskan tiada penyertaan daripada pasukan jemputan.

Ia bermakna Kumpulan A hanya akan membabitkan tiga pasukan, iaitu Johor Darul Ta'zim (JDT) II, Kelantan dan Sarawak.

"Semuanya bagus. Seperti saya katakan, ia kejohanan baru, jadi akan ada objektif baru. Kami mahu tampil dengan aksi terbaik dan diharapkan dapat mara ke final," ujar pengendali JDT II, Ervin Boban.
 

Advertisement

Must Watch Video