PIALA FA
Roskam akui nasib tidak menyebelahi Sarawak
"Tuah masih belum menyebelahi kami," demikian pandangan pemain import Sarawak, Mateo Roskam, apabila pasukannya sekali lagi kecewa tersingkir di peringkat suku akhir saingan Piala FA.
Sarawak mempamerkan aksi yang dapat dibanggakan selepas mengikat Terengganu 1-1 dalam aksi kedua suku akhir di Kuching, Sarawak, malam tadi.
Begitupun, kegagalan memperoleh jaringan dalam masa tambahan menyaksikan pemenang ditentukan menerusi sepakan penalti.
Iklan
Roskam antara individu yang kecewa apabila sepakannya diselamatkan penjaga gol Terengganu, Suffian Rahman, selain percubaan Demerson Bruno Costa jauh tersasar.
Begitupun, Roskam mengakui Sarawak sudah memberikan persembahan lebih baik berbanding beberapa aksi sebelum ini tetapi terus kempunan mencari kemenangan di laman sendiri.
"Ia berlaku lagi, saya tidak tahu bagaimana kami menangani tekanan ini. Tetapi seperti biasa, dengan bantuan nasib, gol mampu hadir. Perlawanan penting seperti ini, kami tidak bernasib baik," katanya.
Sementara itu, kapten Terengganu, Latiff Suhaimi, tidak menduga aksi menentang Sarawak akan berlanjutan ke masa tambahan mahupun sepakan penalti selepas mendahului lawan pada babak pertama.
Jaringan Issey Nakajima hampir memastikan kemaraan Terengganu, namun terpaksa menunggu lebih lama berikutan gol penyamaan oleh Demerson pada minit ke-79.
Padah turut menimpa Latiff apabila dia dibuang padang pada minit terakhir masa tambahan selepas menerima kad kuning kedua.
Begitupun, dia mahu melupakan seketika kekecewaan itu sambil mahu rakan sepasukan fokus kepada aksi Liga Perdana berdepan Johor Darul Ta'zim (JDT) II, Selasa ini sebelum memberi tumpuan kepada pertemuan separuh akhir Piala FA menentang Kedah.
"Perlawanan malam ini memang sengit,kedua-dua pasukan bekerja keras. Tetapi ini rezeki kami.
"Kami tidak menjangka perlawanan akan masuk ke masa tambahan dan penentuan penalti," jelas Latiff.
Must-Watch Video