Skip to main content

Bola Sepak

Rooney mahu jadi pengurus United, kata Ferdinand

ferdinandrooney.jpg
Wayne Rooney, yang akan menyertai Derby County sebagai pemain dan jurulatih, meletakkan sasaran untuk menjadi pengurus Manchester United, kata Rio Ferdinand.

Rooney akan memulakan langkah pertamanya dalam bidang kejurulatihan dengan menyertai Derby sebaik dia meninggalkan DC United, Januari depan -- selepas sah menandatangani perjanjian itu awal pagi tadi.

Namun, bekas rakan sepasukannya di United, Ferdinand, percaya Rooney sudah mempunyai perancangan yang melangkaui tempohnya di Pride Park.

Bekas kapten United itu merupakan pemegang rekod penjaring terbanyak kelab berkenaan dengan menjaringkan 253 gol daripada 559 penampilan dalam kesemua kejohanan.

Ferdinand berasakan sasaran jangka panjang Rooney adalah untuk mengambil alih tugas Ole Gunnar Solskjaer, sambil membandingkannya dengan peluang yang diperoleh bekas rakan sepasukannya dalam skuad kebangsaan England, Frank Lampard, di Chelsea.

"Sasaran terakhirnya adalah untuk menguruskan Manchester United, 100 peratus," katanya kepada akhbar British.

"Ia adalah fakta. Jika dia berkata sebaliknya, dia sedang menipu. Dia pasti mahukannya.

"Hanya masa akan menentukan sama ada dia mampu untuk melakukannya atau tidak.

"Banyak perkara perlu dilakukan untuk ia terjadi.

"Frank berada di tempat yang tepat pada masa yang tepat.

"Bolehkah itu terjadi kepada Wayne? Kita akan lihat," katanya.

Ferdinand percaya Rooney mempunyai segala keperluan untuk menjadi pengurus dengan menambah: "Dia tidak takut untuk berkongsi pandangan, di mana ia sesuatu yang bagus.

"Dia adakalanya terlalu sukar untuk diramal, di mana saya fikir ia juga satu lagi perkara bagus untuk seorang pengurus.

"Saya fikir dia amat bagus dalam memahami pemain.

"Dia masih dalam usia itu. Dia masih berhubung dengan generasi muda. Dia memahami bahasa itu.

"Terdapat banyak pengurus di luar sana yang agak terpisah dengan generasi baru. Ia amat berbeza sekarang," tambahnya.

Advertisement

Must Watch Video