Skip to main content

Bola Sepak

Rooney azam cipta impak bersama The Rams

wayne-rooney.jpg
Wayne Rooney berjanji untuk menawarkan banyak perkara selaku pemain sebelum menjadi jurulatih tetap apabila bekas kapten England itu melengkapkan perpindahannya ke Derby County.

Pemegang rekod jaringan skuad The Three Lions dan Manchester United itu akan menamatkan musim terakhirnya dengan DC United dalam Liga Utama Amerika Syarikat (AS), MLS, sebelum menyertai The Rams, Januari depan.

Dia menerima peranan selaku pemain dan jurulatih buat Derby, yang memulakan kempen Liga Kejuaraan dengan kemenangan ke atas Huddersfield Town, awal pagi semalam.

Perlawanan itu disusuli dengan berita mengejutkan bahawa Rooney, 33, akan tiba di Pride Park, Januari depan.

Rooney tiba di England awal pagi tadi untuk mengadakan perbincangan dengan Derby, di mana dia berkata kesempatan untuk bekerja di bawah pengendali baru kelab itu, Phillip Cocu, sebagai "peluang yang terlalu besar untuk dilepaskan".

"Saya gembira untuk kembali ke sini dan saya tidak sabar untuk hadir semula ke sini Januari depan dan mencuba untuk membantu pasukan ini ke Liga Perdana.

"Pertama sekali, saya adalah pemain.

"Saya berasakan saya mempunyai banyak kualiti untuk dibawa ke dalam pasukan ini.

"Saya mahu menyertai dan beraksi untuk pasukan ini.

"Yang keduanya, saya mahu mencuba untuk belajar daripada Phillip dan staf kejurulatihannya bagi menimba pengalaman sebagai persiapan untuk mengambil langkah seterusnya selepas bersara," katanya.

Rooney mahu menjadi pengurus, sama seperti bekas rakan sepasukannya dalam skuad England, Steven Gerrard dan Frank Lampard, yang meninggalkan Derby untuk menyertai Chelsea.

Namun, dia kerap mengulangi bahawa fokus pertamanya adalah untuk membantu pasukan melalui tindakannya berbanding arahannya di atas padang.

"Sudah pasti, kami semua mahu menjadi pengurus yang hebat, namun itu untuk masa akan datang," katanya dalam sidang media.

"Itulah yang saya mahu lakukan dan saya tidak mahu terus bercakap mengenainya.

"Fokus utama saya adalah untuk bermain dan belajar.

"Dengan apa-apa peranan baru, perkara pertama yang anda mahu lakukan ialah mempelajari peranan itu dengan mengetahui apa yang bagus dan tidak bagus untuk dilakukan.

"Jadi, saya fikir itu yang akan saya lakukan sepanjang 18 bulan yang akan datang dan mencuba untuk mempelajari tabiat yang baik sebagai jurulatih.

"Sudah pasti saya pernah bermain di bawah beberapa pengurus yang hebat, terutama sepanjang lima tahun lalu.

"Saya akan terus belajar dan memberikan yang terbaik di atas padang.

"Saya cukup bernasib baik untuk memiliki beberapa pemain berpengalaman hebat, yang membantu saya ketika masih muda.

"Itu adalah perkembangan semula jadi dalam bola sepak.

"Kini, di penghujung karier saya, saya berharap dapat membantu dan mendorong mereka," katanya lagi.

Advertisement

Must Watch Video