Skip to main content

Bola Sepak

Ronaldo sahkan kekal di Turin

ronaldo.jpg
JUVENTUS 2 FIORENTINA 1

Cristiano Ronaldo menawarkan Juventus alasan kedua untuk meraikan kejayaan gelaran Serie A apabila mengesahkan bahawa dia "1,000 peratus" akan kekal di kelab itu.


Juve menundukkan Fiorentina 2-1 di tempat sendiri awal pagi tadi untuk menjulang Scudetto kelapan berturut-turut dan yang pertama kalinya buat penggempur handalan mereka itu. 

Skuad kendalian Massimiliano Allegri itu menyempurnakan dominasi domestik mereka hasil gol tandukan Alex Sandro dan gol sendiri German Pezzella, lapan minit selepas rehat. 

Kejayaan melebarkan kejuaraan domestik itu membolehkan Bianconeri membuktikan perbelanjaan mewah €112 juta (RM520.5j) untuk memancing pemain berusia 34 tahun berkenaan daripada Real Madrid adalah bertepatan.

Cakap-cakap mengenai sama ada pelaburan itu berbaloi mula kedengaran sejurus mereka tersingkir daripada Liga Juara-Juara (UCL) di tangan Ajax dan laporan seterusnya menunjukkan penyerang itu mungkin mahukan cabaran baru selepas hanya semusim di Turin.

Begitupun, selepas muncul pemain pertama yang memenangi gelaran liga utama Eropah dalam Serie A, LaLiga dan Liga Perdana Inggeris (EPL), Ronaldo menepis kesemua keraguan tentang masa depannya.

"Saya sangat gembira," kata Ronaldo kepada DAZN.

"Yang pertama sekali kerana memenangi Scudetto, seterusnya menjadi pemain pertama yang memenangi koleksi kejuaraaan dalam Liga Perdana, LaLiga dan Serie A.

"Kami gagal memenangi UCL tetapi kami pasti akan melakukan yang lebih lagi baik tahun depan."

Ditanya jika dia akan kekal di kelab berkenaan musim depan, Ronaldo menjawab: "1,000 peratus."

Pemain antarabangsa Portugal itu memainkan peranan penting dalam memimpin Bianconeri untuk menjuarai Serie A dengan berbaki lima perlawanan yang menyaksikannya menyumbat 19 gol dalam 27 perlawanan liga.

 

Advertisement

Must Watch Video